Thursday, August 26, 2010

Nasib Muthu Pemandu Tunku ...

R. Kalimuthu bukanlah satu nama besar bagi rakyat di negara ini. Namun di sebalik kekusutan raut wajah warga emas yang berusia 85 itu, dia masih menyimpan pelbagai kisah suka duka bersama Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Lebih dikenali sebagai Muthu dan berasal dari Kampung Paya Rumput, Melaka, lelaki itu adalah individu yang bertanggungjawab memandu kereta yang dinaiki Tunku Abdul Rahman pada malam 31 Ogos 1957 di Padang Kelab Selangor.
Bukan itu saja, Muthu menghabiskan hampir separuh usianya dengan menjadi pengikut setia Tunku Abdul Rahman sebagai pemandu peribadi.

Menceritakan pengalamannya, lelaki yang bijak berpantun itu berkata, dia berkhidmat dengan bekas Perdana Menteri itu secara rasmi mulai tahun 1957 iaitu ketika negara sedang bersiap sedia menyambut kemerdekaan. "Sebelum itu saya juga pernah menjadi pemandu Tunku secara sambilan semasa beliau bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM) di Kuala Lumpur sekitar tahun 1948.

Umur saya ketika itu 16 tahun," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Muthu, dia masih ingat peristiwa negara diisytiharkan merdeka 53 tahun lalu kerana ia hari penuh bersejarah bagi dirinya dan rakyat Malaysia. "Saya juga masih ingat detik ketika bendera Union Jack diturunkan. Malam itulah secara rasmi negara ini tidak dijajah lagi," katanya sebak.

Beliau berkata, dia juga akan menjadi sebak setiap kali terdengar laungan Merdeka sama ada di corong radio atau pun televisyen.
"Saya menangis bukan apa, kerana saya bangga boleh hidup di negara yang aman dan merdeka ini. "Walaupun, saya bukanlah orang yang terlibat secara langsung memerdekakan negara, saya sangat bangga kerana dapat membawa Tunku ke upacara khas itu," katanya.

Tambah Muthu, sepanjang lebih 40 tahun berkhidmat dengan Tunku Abdul Rahman, dia dapat mempelajari banyak adat istiadat Melayu lebih-lebih lagi protokol kerabat diraja Kedah.
Ditanya tentang kenangan lain bersama Almarhum, Muthu memberitahu, dia pernah menyelamatkan Tunku Abdul Rahman daripada jatuh terlentang di atas batu-batu kerikil tajam di tepi pantai Batu Feringghi, Pulau Pinang, pada tahun 1982.

Menurutnya, atas jasa tersebut, Tunku telah menulis sepucuk surat penghargaan kepadanya menyatakan tanda gembira kerana mendapat teman setia sepertinya yang sudi berkhidmat sejak usia muda lagi.
Dalam pada itu, Muthu mendakwa, dia juga mempunyai pelbagai kenangan manis bersama ayahanda Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana turut menjadi pemandu peribadi semasa Tunku Abdul Rahman bercuti panjang atau keluar negara.

"Ada beberapa kali saya menjadi pemandu Tun Razak semasa beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri. Saya sering berada di rumah Tun Razak serta masih teringat ketika itu Datuk Seri Najib dan adik-adiknya bermain di halaman rumah. Muthu mempunyai 14 orang anak, 27 cucu dan 11 cicit melalui dua perkahwinan iaitu dengan C. Suppamah (meninggal dunia) dan S. Thenam. Dia bersara dengan kerajaan pada tahun 1982 dengan pencen RM480 sebulan.

Muthu berkata, jauh di sudut hatinya, dia masih menaruh harapan agar pihak berkuasa dapat menyumbang sebuah rumah untuknya bagi meneruskan sisa-sisa hidup.
"Impian saya adalah mahu memiliki rumah sendiri, itu saja permintaan saya," katanya ringkas. Selepas itu, dia turut bekerja secara kontrak sehingga Tunku Abdul Rahman meninggal dunia pada Disember 1990. Tugas pemandu kepada balu Almarhum dan keluarga kemudian diambil alih oleh anaknya, K. Markandran.

Selepas melalui pelbagai peristiwa suka-duka, kini Muthu hidup bersendirian di sebuah rumah sewa di Taman Teknologi Kulim Fasa 1.
Katanya, keadaannya juga semakin uzur dan diburukkan lagi dengan penyakit otot yang dialaminya. Muthu bagaimanapun berterima kasih kerana pemilik rumah didiaminya mengenakan sewa lebih murah daripada pasaran iaitu RM100 sebulan.

"Mungkin pemilik rumah yang didiaminya itu bersimpati dengan keadaan diri saya. Rumah ini disewakan kepada saya RM100 sebulan dengan syarat saya kena menjaga kawasan rumahnya supaya bersih dan berkeadaan baik," katanya.Tambahnya, selain pencen bulanan, ada juga seorang dua daripada 14 orang anak-anaknya yang tinggal berdekatan dan sekali sekala datang membantu.

"Saya faham mereka pun ada tanggungjawab kena sara keluarga," katanya.
Muthu berkata, jauh di sudut hatinya, dia masih menaruh harapan agar pihak berkuasa dapat menyumbang sebuah rumah untuknya bagi meneruskan sisa-sisa hidup. "Impian saya adalah mahu memiliki rumah sendiri, itu saja permintaan saya," katanya ringkas.

Kulim | 24 Ogos 2010
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai