Thursday, August 19, 2010

PENTINGNYA MEMAHAMI SEJARAH

Kementerian Pelajaran digesa memperkasakan semula mata pelajaran Sejarah di kalangan pelajar termasuk memperkenalkannya di peringkat sekolah rendah dan menjadikannya subjek wajib lulus dalam peperiksaan utama.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor, Mohd. Faizal Mohd. Salleh berkata, langkah itu perlu bagi memastikan generasi muda mempunyai kefahaman mendalam tentang sejarah.

"Ini penting dalam usaha mempertingkatkan semangat patriotisme di kalangan pelajar selain memberikan kefahaman kepada mereka terhadap sejarah tanah air.

"Mereka juga perlu diberi lebih banyak pendedahan khasnya mengenai tokoh-tokoh penting negara sebelum merdeka yang telah meletakkan perpaduan dan bertolak-ansur sebagai formula teras dalam memerdekakan Tanah Melayu seperti Tunku Abdul Rahman, Tan Cheng Lok dan V.T. Sambantan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sudah sampai masanya perkara itu diberikan pertimbangan sewajarnya memandangkan sejak akhir-akhir ini semakin banyak kes mengenai pembabitan golongan pelajar dalam kegiatan negatif termasuk demonstrasi jalanan. Malah katanya, kini ada juga ahli-ahli politik Malaysia yang “sudah lupa" atau “buat-buat lupa sejarah”.

19 Ogos, Kuala Lumpur | Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai