Thursday, September 2, 2010

SULTAN SELANGOR GANTUNG PINGAT KURNIA

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran 'Datuk' yang dikurniakan kepada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik, digantung.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Ramli Mahmud, berkata baginda juga menitahkan darjah kebesaran negeri dikurniakan kepada bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Phang Oi Chooi atau O C Phang, turut digantung.

Tindakan itu diambil selepas Liong Sik dan Phang dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ). “Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas selepas mempertimbangkan bahawa kesalahan yang dipertuduhkan ke atas mereka ini adalah kesalahan serius membabitkan kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata, keputusan penggantungan itu dibuat selepas Dewan Diraja Selangor bersidang pada 19 Ogos lalu. Ramli berkata, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran bagi Liong Sik dan Phang akan disemak semula selepas mahkamah memutuskan mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan. Liong Sik dan Phang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.

Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ling pada 1992, manakala Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran ‘Datin Paduka’ dikurniakan kepada Phang pada 2001.

Shah Alam | 2 Sep 2010 | www.bharian.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai