Tuesday, September 14, 2010

KELANTAN MENDAPAT SULTAN KE 29 YANG BARU

TUANKU Muhammad Faris menerima Watikah Permasyhuran sebagai Sultan Kelantan Ke-29

Pelantikan Sultan Kelantan Ke-29 akhiri kemelut lebih setahun

KOTA BHARU: Kemelut Istana Kelantan berakhir apabila Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, 41, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29, semalam, menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak lebih setahun lalu. Pengisytiharan pelantikan baginda disempurnakan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, disusuli laungan takbir tiga kali.

Pelantikan itu dibuat selepas 15 Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang pada jam 9 pagi, sebulat suara memilih dan mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta Kerajaan Kelantan.
Turut hadir pada majlis perisytiharan itu, Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra; Pengerusi MPN Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim serta kira-kira 800 tetamu jemputan.

Selepas majlis itu, Nik Aziz menghadap Tuanku Muhammad Faris Petra di Istana Kubang Kerian, bagi menyerahkan watikah pemasyhuran berkenaan.
Kemelut Istana Kelantan tercetus sejak Tuanku Ismail Petra gering pada Mei 2009.
Sejak itu, banyak kenyataan bercanggah dikeluarkan pelbagai pihak dan kedudukan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja juga cuba digugat.

Malah, kelmarin, Tuanku Ismail Petra dilaporkan memfailkan dua petisyen di mahkamah bagi mencabar pertabalan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru.Sementara itu, Setiausaha MPN Kelantan yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, menjelaskan pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra dibuat mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"MPN berpendapat Tuanku Ismail Petra yang gering sejak 14 Mei 2009 hingga kini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik menjadi Raja menggantikan baginda.

"Keputusan ini dibuat dengan persetujuan sebulat suara oleh 15 ahli yang hadir," katanya sambil menjelaskan dua ahli MPN, iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin A'Ishah Puteri, tidak hadir pada persidangan semalam.

Mohd Aiseri berkata, Tengku Muhammad Faiz diberi amanah menyampaikan keputusan MPN berhubung pelantikan Tuanku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru kepada Tuanku Ismail Petra.

Beliau berkata, Perkara 23A Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang diwartakan mulai 22 Julai 2010.

"Pindaan dibuat selepas Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai 2010 menasihatkan Pemangku Raja supaya menitahkan Perkara 3(2) Bahagian Yang Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan dipinda.

“Pindaan itu amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam undang-undang berkaitan kegeringan Tuanku Ismail Petra," katanya yang menyatakan pindaan itu juga tidak memerlukan kelulusan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan. Turut hadir pada sidang media itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.



(C) 2010 BERITA HARIAN


DALAM PADA ITU..... ISU BARU TIMBUL...


Tuanku Ismail masih Sultan Kelantan

KOTA BHARU 13 Sept. - Kekanda Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.

"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa hari ini.

Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini.

Ia turut dihadiri oleh Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Fa'iz Petra.

Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.

Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

"Sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang.

"Saya akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan ini akan terungkai," ujarnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.

"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.


BERITA HARIAN




 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai