Zaid perlu beradab kepada Sultan Selangor
Isu masjid dan surau di Selangor dilarang menjadi medan politik bukanlah perkara baru kerana semua rakyat negeri itu tahu dan sedar arahan tersebut adalah titah perintah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sendiri.
Baginda memang bertegas dalam soal tersebut kerana mahu menjaga kesucian dan martabat agama Islam di Selangor daripada dicemari dengan kegiatan politik yang juga dicetuskan oleh umat Islam negeri.
Sikap tidak bertolak ansur itu diterjemahkan dalam titah baginda baru-baru ini yang dengan tegas mengingatkan mereka yang tidak mahu mematuhi arahan itu, supaya jangan datang ke Selangor.
Kenyataan keras itu mencerminkan jika ingkar padahnya hukuman setimpal seperti yang berlaku ke atas seorang imam di Subang Jaya ditamatkan perkhidmatannya serta-merta kerana membenarkan khatib luar menyampaikan khutbah berunsur politik pada hujung tahun lalu.
Setelah Sultan Selangor mengeluarkan arahan keras itu, isu tersebut mula reda tetapi menjadi panas kembali apabila Datuk Zaid Ibrahim berkata, larangan yang dikeluarkan oleh baginda merupakan pandangan peribadi.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menegaskan ulasan dalam blognya sama sekali tidak melanggar adat Melayu yang menganggap semua titah sultan perlu dipatuhi ia hanya aspek perundangan yang perlu ditafsirkan dengan tepat supaya tidak menimbulkan sebarang kekeliruan. Namun Zaid perlu sedar, baginda bertitah demikian selaku Ketua Agama Islam Negeri Selangor dengan kuasa-kuasa yang diberikan kepada baginda untuk mengeluarkan kenyataan bagi menjalankan fungsi selaku amanah dan tanggungjawab tersebut.
Bayangkan jika semua masjid dan surau bebas dijadikan tempat berpolitik. Apakah akan terjadi jika setiap selepas solat Maghrib atau Isyak yang selama ini dipenuhi dengan program agama seperti taksir al-Quran digantikan dengan ceramah politik.
Seperti yang diketahui, orang politik apabila bercakap semua pihak tidak betul kecuali mereka sahaja. Jika itu yang diperdengarkan di masjid-masjid, kebimbangan tuanku atau orang ramai menjadi kenyataan, rumah Allah itu dicemari dengan sikap umat Islam sendiri.
Jika ia dibiarkan berleluasa, umat Islam yang lemah dan rugi kerana berpolitik siang dan malam hingga mengabaikan tugas lebih besar untuk memajukan umat Islam dalam bidang ekonomi dan menguasai teknologi tinggi.
Lebih ditakutkan, niat jemaah yang hadir mungkin lebih berminat untuk mendengar ceramah yang menyindir pihak-pihak lain daripada mengambil kesempatan berada di rumah Allah untuk meningkatkan ibadah dan ketakwaan kepada Allah.
Perkembangan yang berlaku sekarang dilihat memang menggusarkan pihak istana seperti titah baginda berhubung adat sopan dalam satu majlis di Shah Alam, baru-baru ini.
Baginda berkata, dewasa ini terdapat perkara kurang beradab yang berleluasa dalam kalangan masyarakat yang mendakwa kononnya mereka sebagai masyarakat moden.
Lebih malang lagi kurang adab itu dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan profesional selain ia bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulai.
Mungkin sekarang baru rakyat Selangor terutama pengundi di Hulu Selangor tahu hikmahnya pemimpin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), P. Kamalanathan pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April lalu. Jika diberi kuasa bersuara di Parlimen tak tahulah apa lagi akan dilakukan oleh Zaid.
Oleh Nor sedek ismail
pengarang@utusan.com.my