Pemilihan dan perlantikan Raja bagi Negeri Perak dibuat oleh Dewan Negara. Sistem yang diamalkan ialah menerusi kenaikan pangkat Bakal Sultan dan tidak mengikut sistem turun menurun dari Raja Pemerintah kepada puteranya.
Mengikut undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak seseorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah hendaklah mempunyai zuriat yang diakui telah diperanakkan dengan jalan yang halal daripada tubuh badan dan darah daging Sultan yang kelapan belas. Ianya hendaklah seorang anak lelaki, cucu lelaki, cicit lelaki dan sebagainya dari sebelah pihak benih turun menurun sehingga yang akhir sekali.
Undang-undang Tubuh tidak sekali membenar dan adalah diharamkan memilih dan melantik seseorang Raja Pemerintah selain daripada seorang zuriat daripada Sultan kelapan belas selagi ada hidup seorang zuriat seumpama itu daripada Sultan tersebut dengan syarat Raja Pemerintah itu tiada mempunyai sesuatu cacat yang besar dan berat yang kerananya ia tidak akan diluluskan oleh Hukum Syarak menjadi seorang Raja Pemerintah.
Sekiranya pada mana-mana masa tiada lagi zuriat daripada benih Sultan yang kelapan belas, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai seorang Raja Pemerintah dari antara zuriat-zuriat daripada benih Sultan yang pertama. Walau bagaimanapun sekiranya tiada zuriat daripada benih Sultan yang Pertama yang difikirkan harus dipilih, maka wajiblah dipilih dan dilantik sebagai Raja Pemerintah seseorang lelaki daripada zuriat Sultan yang kelapan belas yang daripada tanah (ibu).
Apabila menimbangkan lantikan itu seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang telah mangkat akhir sekali, dan jikalau sekiranya tiada seorang pun yang demikian itu, maka hendaklah diutamakan seorang lelaki atau cucu lelaki daripada seorang anak perempuan Raja Pemerintah yang mendahului Raja Pemerintah yang tersebut.
Jikalau sekiranya tiada seorang yang layak dilantik menjadi Raja Pemerintah, maka pilihan dan lantikan Raja Pemerintah hendaklah diserahkan kepada timbangan, hukuman dan keputusan Dewan Negara. Setelah Raja Pemerintah dimasyurkan, dua orang Bakal Sultan hendaklah dilantik oleh Raja Pemerintah dengan nasihat Dewan Negara. Dua gelaran yang dipegang oleh Bakal Sultan ialah Raja Muda dan Raja Di Hilir. Gelaran Raja Bendahara telah dihidupkan semula kepada gelaran biasa Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dan tidak dengan gelaran Yang Amat Mulia Tuanku Raja Bendahara, Wakilus-Sultan Wazirul-Kabir.
Perlantikan Bakal Sultan adalah berasaskan syarat-syarat sebagaimana yang diwajibkan bagi seorang Raja Pemerintah. Sebelum melaksanakan haknya atau menjalankan tanggungjawabnya, bakal Sultan dikehendaki mengangkat dan menandatangani sumpah yang ditetapkan oleh Dewan Negara. Sumpah itu mengandungi perkataan-perkataan yang mengikut perasaan orang yang dilantik. Kemudian barulah gelaran dianugerahkan mengikut adat Melayu.
Walau bagaimanapun sebelum seseorang dilantik menjadi Bakal Sultan, seseorang itu pada kebiasaannya hendaklah terlebih dahulu memegang jawatan Raja-raja Bergelar. Gelaran yang diberikan kepada Raja-raja Bergelar ialah Raja Kechil Besar, Raja Kechil Sulong, Raja Kechil Tengah, Raja Kechil Bongsu, tetapi sekiranya berlaku di mana putera Raja-raja Pemerintah menaiki takhta Kerajaan setelah mangkatnya Raja Pemerintah ini adalah kerana putera itu memegang jawatan Bakal Sultan yang terkanan.
Pada kebiasanya Raja Muda akan dilantik menjadi Raja Pemerintah setelah mangkatnya Raja Pemerintah dan Raja Di Hilir akan mengambil tempat yang dikosongkan oleh Raja Muda dan tempat Raja Di Hilir pula diganti oleh Raja Bergelar Raja Kechil Besar dan seterusnya sehingga jawatan Raja Kechil Bongsu menjadi kosong. Pada lazimnya Raja Pemerintah yang baru akan mengurniakan gelaran Raja Kechil Bongsu kepada Putera sulong Baginda.
Walau bagaimanapun, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyatakan bahawa di dalam pemilihan Bakal Sultan, pertimbangan pertama hendaklah diberikan kepada calon yang paling dekat mengikut tertib susunan kedudukan Bakal Sultan dan kemudian barulah kepada tiap-tiap orang Raja-raja Bergelar dengan tidak mengikut tertib kedudukannya sebelum menimbang seseorang daripada peringkat atau peringkat am daripada mereka harus dipilih menjadi Raja Pemerintah.
sumber : keriswarisan.com