Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan merasmikan Masjid Al-Qurtubi, Taman Sri Segambut, di sini, sebelum menunaikan solat Jumaat bersama 2,000 jemaah di masjid di situ.
Seri Paduka diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.
Dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, Masjid Al-Qurtubi dibina pada Ogos 2004 dan siap sepenuhnya April 2006 dengan kos RM7.8 juta di tanah seluas satu hektar. "Masjid tiga tingkat itu boleh menampung sehingga 2,000 jemaah pada satu-satu masa, empat unit kuarters untuk pegawai dan kakitangan masjid dan sebuah kawasan khusus untuk pembuangan sampah," katanya.
Beliau berkata, masjid itu dinamakan sempena seorang ulama terkenal Cordova, Sepanyol, Abu Abdullah Muhammad Ibn Ahmad Ibn Abu Bakr Al-Ansari Al-Qurtubi atau lebih dikenali sebagai Al-Imam Al-Qurtubi. Katanya, Al-Qurtubi adalah seorang tokoh ulama yang terkenal dalam bidang fiqh, tafsir dan hadis.
Jamil Khir berkata, masjid itu dapat memenuhi keperluan umat Islam di sekitar Taman Sri Segambut, Taman Ceupacs, Taman Kok Doh, Taman Sejahtera, Kampung Sungai Udang, Kepong Baru dan Taman Pusat Kepong. Sebelum pembinaan Masjid Al-Qurtubi, katanya, umat Islam di kawasan sekitar Taman Sri Segambut menunaikan solat Jumaat di Surau Diniatin Nuriah, Taman Sri Segambut, yang hanya dapat menampung sehingga 500 jemaah pada satu-satu masa.
Kuala Lumpur | 15 Okt 2010 | Bernama