Perdana Menteri India menghadap Yang di-Pertuan Agong
|
|
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Perdana Menteri India Dr. Manmohan Singh dan isteri, Gursharan Kaur menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara di sini petang ini.
Majlis kunjungan terhadap Seri Paduka berdua itu berlangsung di Dewan Menghadap Kecil istana sempena lawatan tiga hari pemimpin India itu ke negara ini sejak semalam.
Dr. Manmohan yang diiringi Menteri Perdagangan dan Industri India Anand Sharma; Penasihat Keselamatan Negara S. Menon; Setiausaha Timur, Kementerian Luar Negeri Latha Reddy; dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia Vijay Gokhale; tiba di Istana Negara pada pukul 4.40 petang.
Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Menteri Sumber Manusia Datuk Dr. S.Subramaniam selaku menteri pengiring dan isteri, Datin Dr. S.Umarani; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung; dan isteri Datin Julia Tan; serta Setiausaha Bahagian Kanan Direktorat Asia, Oceania dan Afrika Utara Datuk Hayati Ismail.
Mereka meluangkan masa selama setengah jam di Istana Negara sebelum Dr Manmohan menuju ke Brickfields bagi majlis pelancaran "Little India", salah satu kemuncak lawatan beliau.
Perdana Menteri India itu dijadual menghadiri majlis makan malam bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Seri Perdana, Putrajaya malam ini. - (c) 2010 BERNAMA