Thursday, October 21, 2010

Shahrizat - Ibu sayu pejuang Melayu

Shahrizat - Ibu pejuang Melayu

Shahrizat Abdul Jalil sebak menangis ketika berucap di Persidangan Perwakilan Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di PWTC, semalam. Sesiapa yang mencabuli Perlembagaan Persekutuan bukan sahaja bersalah di sini undang-undang malah disifatkan sebagai menderhaka kepada ibu sendiri.

Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan, ini kerana Perlembagaan Persekutuan adalah ‘ibu’ segala undang-undang di negara ini. “Perlembagaan Persekutuan melindungi hak dan kepentingan semua rakyat iaitu Melayu, Cina, India serta kaum lain. Sebagai pencinta negara serta srikandi berjasa, Wanita tidak akan membiarkan kemuliaan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabuli dan dicemari.

‘‘Saya mewakili lebih 1.3 juta ahli Wanita UMNO akan mempertahan dan menjadi perisai serta benteng kepada Perlembagaan Malaysia terutama Perkara 3, Perkara 152 dan Perkara 153 daripada sebarang tentangan dan penghinaan,” katanya dalam ucapan dasar Persidangan Perwakilan Wanita UMNO di sini hari ini.

Tegas Shahrizat, pergerakan itu tidak akan berkompromi dengan tuntutan sesetengah pihak sehingga mencabuli peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan negara dan pada masa sama melindungi kepentingan sah kaum lain mengikut perkara sama. “Jangan kita terperangkap dengan politik rakus sesetengah pihak yang akan dan sedang memecahbelahkan rakyat Malaysia mengikut kaum dan agama,” katanya.

Menurutnya, Wanita juga akan mempertahankan kesucian Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Sebenarnya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah intipati kepada kejayaan 1Malaysia kerana kepentingan SEMUA kaum diambil kira,” katanya. “Pakaian pemimpin adalah akhlak, pakaian ketua adalah jiwa, pakaian tuai adalah nilai dan pakaian sejati adalah budi.

“Untuk orang lain menghormati orang Melayu, kita mesti membangkitkan semula kemuliaan kaum Melayu yang menjadi pedoman perjuangan zaman dahulu. Tanpa kemuliaan, kita umpama seorang tuan yang penat bekerja meminta orang lain untuk menghormati kita,” katanya.


(c) Utusan 2010
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai