JEAN-Jacques Rousseau mendewakan teori kontrak sosial pada abad 18 kerana kecewa dengan sikap istana dan paderi yang mengongkong fikiran rakyat. Rousseau mendesak masyarakat Perancis diberi keadilan, mempunyai jati diri dan hak asasi.
Bagi masyarakat yang matang, kontrak sosial adalah penawar untuk membendung perhambaan sesama manusia yang wujud sejak zaman jahiliah. Sebelum Rousseau mempengaruhi pemikiran Revolusi Perancis (1789-99), ahli falsafah British – Thomas Hobbes dan John Locke juga mengemukakan teori kontrak sosial pada abad 17. Mereka tidak senang melihat telatah feudal yang menguasai rakyat. Tindakan buruk istana sering dikaitkan dengan agama, kononnya tuhan (bagi pengikut Kristian) menyeru manusia taat kepada istana dan tidak mempertikaikan salah laku Raja. Raja bebas melakukan apa saja. Menentang keputusan istana dianggap berdosa kerana tidak patuh kepada arahan tuhan.
Sejak berkurun, manusia ditindas jiwa mereka. Segala urusan keperibadian tidak wujud kerana rakyat diarah setia kepada sistem feudal dan penguasa agama yang memperalatkan kedudukan mereka. Menjelang abad ke-20, teori kontrak sosial menjelajah hampir ke seluruh dunia. Ketika banyak institusi istana runtuh dan diganti sistem demokrasi mahupun ketenteraan dan republik, kontrak sosial menjadi jaminan mengikat hubungan antara pemerintah dan rakyat. Pemerintah diberi mandat menerusi peti undi dan sepatutnya menjalankan tugas meningkatkan prasarana, taraf ekonomi, sosial dan kesihatan di wilayah di bawah pentadbiran mereka.
Rakyat pula perlu setia kepada negara, bertugas dan membantu kerajaan memajukan sesebuah wilayah. Sistem perundangan dan perlembagaan digariskan supaya semua pihak membantu negara. Rakyat juga berhak menentukan sesebuah kerajaan, atau digulingkan melalui proses pengundian pada pilihan raya akan datang.
Teori kontrak sosial tidak pernah membezakan rakyat dari segi kaum, agama dan status sosial. Persamaan ini dianggap oleh pejuang demokrasi sebagai asas membangunkan sistem siasah tulen di sesebuah negara.
Bagaimanapun isu kontrak sosial sering diperkatakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008. Ia mempunyai citra tersendiri kerana pelbagai pihak menafsir dari sudut berbeza. Ada yang mendakwa kontrak sosial wujud ketika negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 memberi hak sama rata kepada rakyat pelbagai kaum.
Ada yang mendakwa bangsa Melayu, Cina, India dan kaum lain setaraf dari segi perlembagaan. Perkara 8 dalam Perlembagaan Persekutuan menggariskan: Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang. Bagaimanapun hak istimewa bangsa Melayu yang tercatat pada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bukan dianggap sebagai hak (rights) tetapi keistimewaan (privileges).
Jika tafsiran ini dianggap benar, tentunya bangsa Melayu tidak boleh mendabik dada dengan istilah hak istimewa yang dimiliki. Bangsa Melayu perlu sedar nasib bagai telur di hujung tanduk di negara asal usul moyang mereka. Perpecahan dan kurang penguasaan dari segi ekonomi, politik dan sosial menjejaskan masa depan Melayu sendiri.
Isu kontrak sosial bagai menafikan hak keistimewaan Melayu. Sistem merit memberi keutamaan kepada kecemerlangan secara terbuka tanpa membabitkan isu kaum dan agama. Bangsa yang tertinggal bakal dipinggirkan oleh sejarah di negaranya sendiri. Sistem kuota yang dikaitkan dengan hak Melayu tidak lebih daripada slogan politik kepartian.
Ada pengamal undang-undang menafsirkan hak istimewa Melayu bukan bermaksud hak ketuanan Melayu. Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut ketuanan Melayu. Istilah ketuanan Melayu hanya dicipta dalam bentuk siasah untuk mengekalkan kuasa. Ia tidak dicatat dalam mana-mana peraturan, justeru, tindakan mengungkapkan ketuanan Melayu secara terbuka dianggap tidak mematuhi semangat pembentukan Malaysia.
Dari segi sejarah, ungkapan ketuanan Melayu muncul pada 1966 apabila seorang timbalan menteri berucap pada satu majlis di Singapura. Ucapannya kurang mendapat perhatian Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra kerana ia tidak tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan. Hanya pada 1987 isu ketuanan Melayu dibangkitkan semula apabila ada pihak mempertikaikan hak istimewa Melayu secara terbuka. Pada masa sama juga sudah ada pihak berani mengemukakan cadangan menyaman seorang Sultan yang dikatakan kerap mengganggu pentadbiran di sebuah negeri.
Kemelut secara terbuka itu menyebabkan suhu politik negara menjadi panas dan akhirnya memaksa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan Operasi Lalang pada 27 Oktober 1987. Seramai 106 ahli politik ditahan dan permit penerbitan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh digantung. Bagaimanapun isu kontrak sosial tidak pernah reda daripada diperkatakan. Ia mungkin senyap seketika dan kembali bergema setiap kali ada pihak merasakan Melayu semakin lemah di negaranya sendiri. Kontrak sosial muncul pada 1987 ketika dua kumpulan bergeser merebut jawatan Presiden UMNO.
Pada 1998, isu kontrak sosial mengiringi gerakan reformasi apabila seorang tokoh siasah didakwa di mahkamah kerana kaitan salah laku seks dan rasuah. Isu sama juga muncul kini kerana ada pihak berani membuat sembah derhaka dan institusi istana dianggap tidak relevan. Selagi ada pihak berasakan hak mereka tidak dipedulikan atau perlu diperjuangkan, selagi itulah isu kontrak sosial menjadi mantera lunak di pentas politik.
Kewarasan berpolitik sering diketepikan apabila isu kontrak sosial diperkatakan dengan pelbagai niat. Ada pihak berani mempertikai kuota ekonomi Bumiputera dan status syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semata-mata kerana cita-cita siasah. Kontrak sosial sudah menjadi keramat hidup yang menghantui ahli politik di Malaysia!
Sumber: (c) Zanuddin Salleh, Web Perkasa