Sunday, December 5, 2010

Ketuanan Melayu: Pemimpin Politik Perlu Timba Ilmu Sejarah


Ketuanan Melayu: Pemimpin Politik Perlu Timba Ilmu Sejarah?

TULISAN Radzi Razak, SelangorKini

Pemimpin dan parti politik wajar menimba ilmu pengetahuan khususnya mengenai sejarah Malaysia jika mahu mengupas isu ketuanan Melayu secara jujur, kata pakar sejarah, Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim.

Beliau menegaskan istilah ‘Ketuanan Melayu’ tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan pihak yang wajib tidak harus menyembunyikan fakta sejarah kerana ia bakal memberikan kesan buruk kepada rakyat.

“Sepatutnya dari awal lagi sudah dijelaskan apa maksudnya Ketuanan Melayu. Itu tidak berlaku dan sekarang orang sudah mula bergaduh. Saya cuba jelaskan dalam sejarah, memang istilah itu tak pernah digunakan (dalam perlembagaan). Jadi, kalau ada orang yang masih kata (Ketuanan Melayu) itu masih relevan, kita nak tahulah, dan bolehkah kita gunakan sejarah untuk menyokong apa yang disebutkan,” Dr Khoo berkata demikian selepas siaran langsung rancangan fokus berita ‘Ketuanan Melayu’ di TV Selangor hari ini.

Isu Ketuanan Melayu sekali lagi dipergunakan oleh Umno untuk membidas PKR apabila Presidennya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pemimpin Umno menggunakan slogan itu untuk memperkayakan diri dan kroni tetapi terus meminggirkan masyarakat Melayu umum yang masih terjebak dalam kemiskinan dan kemunduran.

Pemimpin Umno dan Perkasa mendakwa kenyataan Wan Azizah itu kononnya mencabuli Perlembagaan dan mengkhianati Istana.

Peguam Umno Datuk Hafarizam Harun mahukan Wan Azizah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana membuat kenyataan itu.

Professor Emeritus Dr Khoo menegaskan keperluan pemimpin politik berhujah menggunakan logik dan bukan emosi dalam menengahkan isu-isu Ketuanan Melayu kerana ia boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam masyarakat.

“Kita perlu sentiasa menggunakan logik bukan emosi. Saya sangat takut kalau kita selalu menggunakan emosi bila bercakap dengan orang ramai, orang ramai biasanya tidak faham. Itu sangat merbahaya.

“Saya rasa mereka nak mengelirukan rakyat supaya rakyat sentiasa menyokong mereka. Saya rasa itu pendekatan yang tidak baiknya, ia mengorbankan kepentingan negara,” jelasnya.

Professor Emeritus Dr Khoo adalah tokoh akademik dan pakar sejarah yang mempunyai pengalaman luas dalam sejarah Malaysia dan terlibat dalam penggubalan Rukun Negara pada tahun 1970.

[Komen dari pengkaji tamaddun Melayu di jemput emel komen kepada Rajamenangis]

Sumber (c) http://www.selangorkini.com.my/my/
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai