Sunday, January 16, 2011

TITAH KDYMM SULTAN KEDAH

ALOR SETAR 16 Jan. - Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini bertitah meminta supaya rakyat negeri ini sentiasa berwaspada dan menolak sebarang percubaan pihak tertentu untuk melibatkan baginda dalam apa-apa isu berbangkit.

Baginda sebaliknya mengingatkan rakyat agar terus memelihara suasana aman damai dan menumpukan kepada usaha meningkatkan taraf hidup tanpa berasa bimbang mengenai ancaman atau gangguan ke atas keselamatan masing-masing.

"Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara.

"Beta yakin ikatan perpaduan yang erat di kalangan penduduk berbilang kaum dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan dan usaha kerajaan beta untuk terus mengeratkan perpaduan hendaklah disokong sepenuhnya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, di sini. - Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai