SINGAPURA: Setelah lebih 80 tahun menaburkan jasa menghubungkan rakyat di tanah besar Semenanjung dengan Singapura, akhirnya perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di stesen Tanjong Pagar di sini melabuhkan tirai dengan diiringi linangan air mata pengunjungnya.
Sebaik sahaja tren terakhir yang dipandu oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bergerak meninggalkan stesen tepat pukul 11 malam, para pengunjung stesen itu turun beramai-ramai ke landasan untuk merakamkan gambar serta mengutip batu kerikil di landasan untuk dijadikan kenangan.
Ramai juga di kalangan pengunjung kelihatan menitiskan air mata selepas tren terakhir itu berlepas.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memandu tren terakhir itu sebagai simbolik berakhirnya perkhidmatan KTMB (KTMB) di stesen itu.
Tepat pukul 12 tengah malam tadi, stesen yang telah beroperasi selama 80 tahun memberikan perkhidmatan menghubungkan Malaysia dan Singapura sejak 1932 itu menghentikan operasinya dari stesen itu secara total.
Bermula Jumaat perkhidmatan KTMB dari Singapura akan beroperasi dari stesen keretapi Woodlands.
Terdahulu, Sultan Johor yang diiringi putera baginda Tengku Temenggong, Tengku Idris serta puteri Tengku Amina tiba di stesen itu pada pukul 10.20 malam seterusnya dibawa meninjau persekitaran stesen berkenaan oleh pegawai kanan KTMB yang bertugas.
Keberangkatan rombongan diraja itu disambut meriah oleh ribuan pengunjung serta para media sama ada tempatan mahupun antarabangsa yang begitu teruja menunggu sejak lewat petang bagi merakamkan detik bersejarah perjalanan terakhir tren itu.- BERNAMA