Sunday, April 20, 2008

Dari Makam ke Makam

Makam Sultan Hussein Shah (Tengku Long) di Tengkera. Baginda merupakan Sultan Johor ke-17, memerintah dari 1819-1835. Oleh kerana baginda berada di Pahang ketika kemangkatan ayahanda pada 1812, adinda baginda Tengku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Sultan. Namun begitu atas percaturan Stamford Raffles, Sultan Hussein (ketika itu tinggal di Riau) menjadi Sultan. Temenggung juga bersetuju dengan perlantikan tersebut. Sultan Hussein Shah membina Istana Kampong Glam pada 1820 (kini Malay Heritage Centre, Singapura).

Makam Sultan Ali Iskandar Shah di Umbai, Melaka. Baginda adalah anakanda Sultan Hussein Shah dan memerintah Johor dari 1835-1877. Pada tahun 1855, baginda menandatangani treaty dengan British untuk menyerahkan pemerintahan (kecuali daerah Kesang) kepada Temenggung Daeng Ibrahim. Setelah kemangkatan Sultan Ali pada 1877, putera Temenggung dilantik menjadi Sultan Johor (Sultan Abu Bakar). Portal rasmi Kerabat Sultan Hussein ada di sini.

Makam Tun Teja Ratna Menggala di Kg.Simpang Pantai, Merlimau, Melaka. Baginda yg merupakan anak Sri Amar DiRaja Pahang adalah isteri ketiga Sultan Mahmud Shah (yg merupakan Sultan Melaka ketika ia jatuh ke tangan Portugis pada 1511). Semasa rombongan Sultan berundur, Tun Teja jatuh gering dan mangkat. Makamnya di tengah-tengah kawasan bendang dan laluan ke situ dipagari oleh dua deretan pepohon yg merimbun.

Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-88) di Pagoh. Baginda merupakan Sultan Melaka yg ke-7 dan menaiki takhta selepas kemangkatan ayahanda, Sultan Mansur Shah. Baginda mementingkan keamanan dan biasa menyamar sebagai rakyat biasa dan meronda kota Melaka pada waktu malam. Akibatnya, Melaka menjadi negeri yg selamat untuk berdagang. Bendahara ketika ini ialah Tun Perak. Kawasan makam yg lama ini terletak di dalam kampung yg sunyi dipenuhi pokok-pokok yg besar dan redup.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai