Ketari, Bentong, Pahang. Tahun 1944. Kerana isterinya ditimpa penyakit selepas melahirkan, Ho Wah menyerahkan bayi perempuan itu kepada seorang bidan Melayu, Bah bt Itam. Bayi itu adalah ibu saya, Norlia bt Abdullah. Kini pada usia 63, dia dipertemukan kembali dengan kakaknya, Ho Ah Yook, 75, setelah terpisah selama hampir 58 tahun!
Pertemuan bersejarah diadakan di rumah kenalan Ah Yook di Ketari jam 10.00 pagi, 17 Nov 2007. Tiada air mata dititiskan, hanya senyuman gembira dan rasa puas hati dapat berdakapan setelah sekian lama terpisah oleh jarak dan waktu.
Semuanya bermula kerana Ah Yook cuba menjejaki ibu melalui rakan2nya (Kam Moi & Ah Mooi) yg masih tinggal di Ketari. Meskipun Ah Yook tidak fasih berbahasa Malaysia, perbualan kami (yg dialih bahasa oleh Ah Mooi) sungguh mesra dan menghiburkan.
Kata Ah Yook, wajah ibu saya mirip mendiang ayah mereka, Ho Wah (yg telah meninggal dunia di Ampang, rumah anak sulongnya, Ho Yin Fatt, 80). Banyak kisah keluarga ibu yang masih diingati oleh Ah Yook kerana usianya 12 tahun ketika ibu dilahirkan.
Waktu itu memang sukar kerana askar-askarJepun membunuh ramai orang-orang Cina. Ibu juga mempunyai seorang lagi kakak yg telah diserahkan kepada sebuah keluarga Cina (kini tidak tahu di mana dia berada). Sungguh sayu melihat dua orang wanita berpegangan tangan setelah sekian lama tidak bersua. Amat tersentuh melihat dua org wanita berlainan agama berdakapan kerana mereka lahir dari ayah dan ibu yg sama!
Setiap gerak geri ibu dengan kakaknya hampir serupa. Malah cara mereka senyum pun sama. Meskipun mereka dibesarkan dalam keluarga berbeza, pertalian darah itu tetap ada. Dan buat pertama kalinya, saya dapat memanggil 'Tai Yee' (mak cik) pada ibu saudara Cina saya!