Saturday, March 14, 2009

Fadhilat Solat

Solat adalah satu perintah yang diwajibkan ke atas orang Islam sebanyak lima kali sehari. Umat Islam dituntut melakukan ibadat itu menurut sebagaimana diperintahkan Rasulullah s.a.w, dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salamnya dengan penuh takwa. Banyak kelebihan, keberkatan dan rahsia yang terkandung di dalam solat, di antaranya:
  • Solat akan menjadikan seseorang sentiasa mengingati Allah dan menghampiri diri dengan-Nya, sekali gus menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berhubungan dengan Tuhannya. "Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku." (Toha:14)
  • Mereka yang mengerjakan solat adalah mereka yang tahu bersyukur atas segala nikmat dan rahmat tidak terhingga yang Allah kurniakan.
  • Manusia tidak lepas daripada melakukan dosa dan solat lima kali sehari dapat menghapuskan dosa yang dilakukan. "Dari Abi Hurairah r.a, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu-waktu solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar." (Hadis riwayat Muslim)
  • Solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukunnya boleh mencegah si pelakunya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. "Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar, dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Ankabut:45)
  • Solat dapat memberi keberkatan, kejayaan dan kebahagiaan hidup. "Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya." (al-Mukminun:1-2)
  • Orang yang melakukan solat secara sempurna dan penuh khusyuk, jiwanya aman damai, malah dapat mengawal segala tekanan sekali gus menjadikan kehidupannya lebih ceria. "Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka." (al-Ma'arij: 19-23)

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai