Keris - Engkau lambang Melayu sejagat
Atas keinsafan, kesedaran dan tanggungjawab, dunia persilatan wajib dibela kerana ia melambangkan maruah dan martabat bangsa dan negara. Ia memainkan peranan sebagai penyambung perjuangan amanah budaya nenek moyang agar bangsa terus dihurmati. Seni silat adalah bagai tiang seri sebuah rumah Melayu. Ia berdiri penegap payung untuk sebuah balai. Berdiri seorang wira Melayu lengkap berpakaian dan bersenjata, menceritakan asal-usul dan niat. Tangan mengangkat sebelum langkah dibawa untuk menunjuk gerak. Semua bercerita hingga nafas ditudung.
Tidak ramai guru guru silat dapat bertahan, hingga lenyap gerak gerak jurus lama. Namun selagi ungkapan Takkan Melayu Hilang Di Dunia terus bergema, langkah pejuang, gerak penerus dan bunga luahan menyampai rasa hati, perlu terus dipelihara. Niatkan bersilat kerana riadah dan memelihara hak warisan.
Dan tidak lengkap seri pakaian didalam dunia persilatan tanpa dihias dengan budaya perkerisannya. Menangani keris harus lengkap dengan tata karma dan adat peradapannya. Keris yang asalnya dari perkataan kekeratan "Ke" dan "aris" yang bermakna tenang, lambat atau halus adalah kelompok senjata tikam yang merupakan lambang kekuatan para hulubalang Melayu serta kerajaan-kerajaan purbakala di zaman dahulu. Kini ianya menjadi lambang kebangaan orang-orang Melayu serta kepulauan sekitarnya. Jika diteliti sejarah purbakala, terdapat unsur-unsur alam semulajadi seperti tanah, batu, pasir, tembaga besi, emas, perak, berlian, batu permata serta batu delima yang menghiasi serta memperkukuhkan bentuk keris. Senjata diakhir akhir ini di cipta dengan begitu ringkas dan mudah dengan menggunakanl alat-alat tertentu. Sebagai perbandingan kita dapati seni pertukangan senjata dahulu terutamanya keris dihasilkan melalui tangan-tangan manusia serta unsur-unsur tradisional lain dengan penuh ketelitian ritual dan peradaban. Mereka ini dikenali sebagai Empu yang menjalankan aktiviti pertukangan keris ini di dalam lingkungan istana. Jelas, ianya merupakan suatu kerjaya yang dikagumi suatu masa dahulu. Keris-keris ini kemudiannya disepuh dengan pelbagai air yang didapati dari unsur-unsur semulajadi yang suci seperti air hujan, air yang tersimpan di masjid dan air dari tujuh kuala. Upacara sepuhan ini juga dilakukan pada hari-hari yang yang terpilih.
Tidak hairanlah, unsur-unsur suci ini menjadikan senjata keris sebagai alat persenjataan yang di muliakan, semangat yang kuat, peribadi yang tinggi...
Petikan khas drp laman - www.silat.tv (dibawah PERGURUAN SENI SILAT SENDENG HAJI HAMID UK)
Marilah kita sama-sama miliki sebilah keris untuk sebuah rumah (satu rumah, satu keris) sebagai tanda adat budaya Melayu dan tanda kenangan turun temurun kita - Rajamenangis