Saturday, April 4, 2009

Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang

Masjid Kapitan Keling di Jalan Masjid Kapitan Kelang (dulu Pitt Street) adalah sempena 'jawatan' Caudeer Mohudeen, ketua komuniti (kapitan) Indian Muslim yang membinanya sekitar 1800. Ia pernah digunakan sebagai masjid negeri kerana ia masjid bersejarah yang paling besar di Georgetown.

Kapitan Keling membawa masuk pembina dan batu-batan untuk projek ini. Struktur asal adalah setingkat, berbentuk empat segi bujur dengan bahagian sekelilingnya mempunyai bangku panjang. Tapak seluas 18 ekar itu telah diberikan kepada komuniti India Muslim oleh Sir George Leith (Leftenan Gabenor Pulau Pinang) pada November 1801.

Namun bila Georgetown semakin besar, kerajaan membeli kawasan sekitar masjid untuk membina Balai Polis dan Pasar Campbell Street. Makam Kapitan (yang meninggal pada 1834) terletak di Kampung Kolam, tidak jauh dari masjid itu. Menjelang 1903, keluasan asal berkurangan menjadi 8 ekar sahaja.

Menjelang 1910, masjid tersebut diubahsuai mengikut stail British Mogul dengan penambahan menara Mughal dan kubah. Manakala sebuah madrasah selesai dibina pada 1916. Sekali lagi pada 1930, Masjid Kapitan Keling melalui pengubahsuaian yang kekal seperti sekarang. Kawasan masjid diluaskan, ketinggian ruang sembahyang utama ditingkatkan dan sistem pengudaraan disempurnakan.

Bahagian luar kekuningan sementara lantainya marmar putih. Arca di sepanjang lorong berbentuk tapak kuda. Fasad bangunan dan bahagian dalamnya dihiasi corak geometrik kerana unsur manusia atau binatang adalah ditegah dalam Islam.

Masjid ini diperelokkan lagi pada 2003, dengan peruntukan RM5 juta, kerana air meresap ke dinding dan sistem pengaliran yang tidak sesuai. Ketika ini, sebuah laluan beratap dibina ke kawasan wuduk jemaah wanita. Kaligrafi ditambah di kubah dan dinding bagi menggantikan motif bunga. Sebuah Pusat Informasi Islam juga dibina di situ.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai