KEHEBATAN BULAN REJAB BERBANDING RAMADHAN
Sebagai renungan, ahli hikmat pernah berkata: “Sesungguhnya Rejab adalah bulan memohon ampun daripada segala dosa dan Syaaban pula adalah memperbaiki hati daripada segala kecacatan. Ramadan pula memberi penerangan hati. Sedangkan malam al-Qadar adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah.”
Oleh hal yang demikian itu, amat wajarlah setiap Muslim menginsafi diri dan merebut ganjaran disediakan Allah agar dia dapat menempatkan diri dalam kalangan mukmin berjaya di dunia dan akhirat.
Amalan terbaik di dalam bulan Rejab ini ialah berpuasa. Maksud hadis Rasulullah s.a.w tentang kelebihan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah seperti berikut:
- Puasa 1 hari - Seperti berpuasa 40 tahun dan mendapat keredaan Allah serta syurga tertinggi.
- Puasa 2 hari - mendapat kemuliaan besar daripada Allah dan dilipatgandakan pahalanya.
- Puasa 3 hari - dijauhkan dugaan dunia oleh Allah, dijadikan sebuah parit panjang yang menghalangnya ke neraka.
- Puasa 4 hari - diselamatkan daripada siksaan akhirat kelak serta fitnah Dajjal.
- Puasa 5 hari - aman daripada azab kubur.
- Puasa 6 hari - dibangkitkan dari kubur dengan muka bercahaya.
- Puasa 7 hari - Allah mengunci 7 pintu neraka Jahanam baginya.
- Puasa 8 hari - Allah membuka 8 pintu syurga baginya.
- Puasa 9 hari - keluar dari kuburnya lalu menyeru “Laailahaillallah” dan tidak ditolak dia daripada memasuki syurga.
- Puasa 10 hari - Allah memperkenankan semua permintaan dan hajatnya, dijadikan hamparan perhentian di titian Siratulmustaqim setiap satu batu dan dijadikan dua sayap untuk terbang seperti kilat di titian Siratulmustaqim.
- Puasa 13 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 3,000 tahun.
- Puasa 14 hari - Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 10,000 tahun.
- Puasa 15 hari - Allah mengampunkan semua dosanya yang lalu di samping menggantikan amalan kejahatan dengan amalan kebaikan. Saidina Ali berkata bahawa fadilatnya seperti puasa 100,000 tahun.
- Puasa 16 hari - dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.
- Puasa 19 hari - Dibina sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.
- Puasa 20 hari - Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu, dan melakukan amalan baik dengan baki umurnya.
- Sesiapa yang berpuasa 3 hari dalam bulan Rejab dan beribadat pada malamnya seperti dia berpuasa 3,000 tahun, diampunkan baginya 70 dosa besar setiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawa dari jasadnya, 70 hajat ketika di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika al-Quran dinaikkan ke langit), 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan, dan 70 hajat ketika melalui titian Siratulmustaqim.
- Berpuasa pada 27 Rejab (Hari Israk dan Mikraj) seperti berpuasa 60 bulan pahalanya, jika disertai dengan sedekah seumpama puasa 1,000 tahun.
- Dapat meminum air sungai yang dinamakan Rejab yang mana airnya lebih putih daripada susu, lebih manis daripada manisan, lebih dingin dari salji.
- Setiap umat Islam yang berpuasa di bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumur hidupnya. Tambahan bersedekah seperti beribadat seribu kali haji dan umrah. Dibina untuknya seribu mahligai dengan seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada matahari seribu kali.
- Sedekah di bulan Rejab seumpama sedekah seribu dinar, dituliskan kepada tiap-tiap helai bulu romanya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat dan dihapuskan seribu kejahatan serta dijauhkan daripada api neraka. Orang yang lemah daripada berpuasa di bulan Rejab, hendaklah bersedekah setiap hari, sekurang-kurangnya sebuku roti.
Kelebihan lain bulan Rejab
1. Di dalam bulan lain Allah membalas amalan hamba-Nya 10 kali, tetapi di dalam bulan Rejab Allah akan membalas amalan hamba-Nya 70 kali.
2. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
3. Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Rasulullah s.a.w, Ramadan bulan umat Rasulullah s.a.w.
4. Rejab adalah bulan menabur benih, Syaaban bulan menyiram tanaman, manakala Ramadan bulan menuai.
5. Amalan di dalam bulan Rejab menyucikan badan, Syaaban menyucikan hati, manakala Ramadan menyucikan roh.
6. Rejab adalah bulan maghfirah (keampunan), Syaaban bulan syafaat, manakala Ramadhan bulan menggandakan kebajikan.
7. Rejab adalah bulan taubat, Syaaban bulan muhibbah, manakala Ramadan bulan dilimpahi pahala amalan yang banyak.
8. Pahala amalan baik di dalam bulan Rejab diganda 70 pahala, Syaaban diganda 700 pahala, dan Ramadan diganda 1,000 pahala.
Beberapa amalan lain yang baik dilakukan dalam bulan Rejab
1. Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun.
2. Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan istighfar dan zikir.
3. Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat.
4. Memohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya.
5. Menginsafkan diri dengan membaca kisah teladan perjuangan Rasulullah s.a.w dan sirah Islam lain.
Petikan/ihsan (c) http://islamhadhari.net
(C) Oleh MUHAMMAD HATIM