Monday, September 28, 2009

MISTIK: Warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga


Warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga

Meriam tegak ada penunggu



USIK mengusik, gurau senda suami isteri boleh membawa bahagia, tetapi jika berlebihan dan tidak kena pada tempatnya boleh membawa padah, apatah lagi jika membabitkan individu yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan tinggi.

Itulah yang berlaku kepada pasangan Che Wan dan suaminya dikenali Che Noh yang menetap di perkampungan Melayu Riau, di Pulau Dabo Singkep, Kepulauan Lingga, Riau, Indonesia kira-kira 200 tahun dulu.


Logiknya, jika meriam besi itu cuma terbenam 0.33 meter ke dalam tanah berpasir, ia cukup mudah untuk dikeluarkan, tetapi meriam ini mempunyai misteri tersendiri.

Kedudukannya di tepi jalan berturap di kawasan peranginan Pantai Batu Berdaun menyebabkan ada usaha mengalihkan ke tempat yang lebih selamat untuk ditempatkan di muzium.

Anehnya, semua percubaan untuk mengalih meriam dipercayai berusia lebih 200 tahun itu tidak pernah berhasil, padahal logiknya, jika digali dengan tangan pun memadai untuk mengeluarkan meriam berkenaan kerana ia tertanam di kawasan berpasir.

Penduduk di situ percaya meriam itu ada penjaganya kerana ia bukan sembarangan meriam. Mereka percaya ia dipacak di situ dan ‘dikunci’ hingga sekarang. Apabila pemegang ‘kunci’ (Che Wan) itu sudah meninggal, tiada sesiapa lagi yang boleh mengubahnya.

Hinggalah sekarang tiada siapa yang tahu, tetapi yang pastinya mereka sepakat biarlah meriam itu bersemadi di situ bersama penjaganya.

Ini kerana penduduk pernah menggunakan jentolak untuk mengorek lubang mengeluarkan meriam berkenaan, hasilnya cangkuk utama jengkaut patah dua, manakala enjin jengkaut rosak. Pemandunya lari ketakutan kerana terkena ‘teguran’ penjaga meriam yang marah kerana cuba mengganggu kawasannya.

Cubaan diteruskan dengan membawa beberapa orang dukun bagi memudahkan urusan mengorek keluar meriam. Nasibnya berbeza, jengkaut tidak patah, tetapi sebaik saja mata cangkuk mencecah tanah, badan jentera pengaut itu tiba-tiba terangkat di bahagian belakang.

Seolah-olah mengorek benda yang terlalu keras hingga mata jengkaut pun tidak boleh masuk ke dalam pasir menyebabkan lagi sekali pemandunya lari ketakutan dan dikatakan demam berminggu-minggu.

Sepanjang laluan di pantai Batu Berdaun itu memang ada banyak meriam lama kerana di situ dikatakan antara benteng pertahanan utama kerajaan Melayu Johor Riau Lingga menahan asakan serangan meriam Belanda yang berpangkalan di Kampung Batu Bongkok.

Bagaimanapun, dua lagi meriam berhampiran sudah dialihkan dengan bantuan beberapa dukun yang meminta ‘izin’ mengalihkan meriam berkenaan.

Penduduk, Abdul Rani Atan Leman, berkata berdasarkan cerita lisan waris keturunan pasangan Che Wan dan Che Noh yang dikenali dengan panggilan Mak Cik Indon, berusia 78, mereka pernah mendapat mimpi supaya meriam dan apa saja barangan peribadi pasangan itu dijaga dengan baik.

“Dua lagi meriam sudah diizinkan untuk dialih, tetapi pelbagai hal berlaku. Satu daripadanya dihantar ke Lingga, dipadankan dengan pasangannya dan dibiarkan di situ. Itu warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga.

“Satu lagi dibawa ke Pulau Penyengat, Tanjung Pinang menaiki kapal. Dalam perjalanan, kapal itu karam, tetapi meriam itu berjaya diselamatkan. Sebab itu sampai sekarang penduduk tidak berani nak usik meriam tegak itu.

“Pernah berlaku meriam itu sudah hampir dikeluarkan, sudah senget, tetapi apabila datang semula esoknya, meriam itu tegak semula seperti asal. Mereka gali lagi, tinggalkan kawasan itu sebab hari gelap, tetapi apabila datang semula, meriam itu sudah tegak seperti asal,” katanya.

Apa yang boleh dilakukan hanyalah meletakkan pagar kecil di keliling meriam pacak itu sebagai tanda peringatan. Disebabkan kejadian aneh itu, kawasan itu turut menjadi tumpuan peminat nombor ramalan untuk mencuba nasib.

Penduduk pernah terserempak dengan beberapa kumpulan sedang ‘menurun’ nombor ekor pada waktu tengah malam tetapi mereka sekadar memerhatikan saja apa yang akan berlaku. Keesokannya heboh cerita kumpulan itu bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu.

Penulis berpeluang melihat sendiri meriam berkenaan dan mendapati kedudukan meriam itu tegak 90 darjah, langsung tidak senget walaupun sudah berada di situ sejak ratusan tahun dulu, padahal kedudukan berhampiran pantai dan ada kalanya dilanda ombak besar.

Sumber: (c) 2009 Berita Harian
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai