Sultan Selangor mahu rakyat faham fungsi raja
SHAH ALAM 23 Nov. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan seluruh rakyat di negeri itu supaya memahami dengan jelas fungsi Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Titah baginda, pemahaman terhadap perkara itu amat penting kerana ia boleh menghapuskan perasaan ragu-ragu, kurang faham atau curiga di kalangan rakyat tentang mengapa kedaulatan raja itu perlu dipertahankan.
Menurut baginda, raja berdaulat merupakan pelindung serta payung kepada rakyat di bawah naungannya supaya tidak teraniaya oleh perbuatan mana-mana pihak. Tegas baginda, ketiadaan kedaulatan raja akan menyebabkan tiada satu kuasa yang boleh menjadi benteng terakhir terhadap unsur-unsur yang memecah-belahkan perpaduan rakyat dan keutuhan sesebuah kerajaan.
"Maka, ketiga-tiga elemen penting iaitu rakyat, raja dan kerajaan tidak boleh dipisahkan serta boleh diumpamakan sebagai anggota tubuh yang menjadi tonggak kepada kekuatan badan. Jika dipisahkan elemen-elemen tersebut akan mengakibatkan kepincangan yang nyata. "Dengan itu beta menyarankan seluruh rakyat dan barisan kepimpinan sentiasa memelihara undang-undang agar segala kejayaan yang dikecapi sekarang dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang," titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika merasmikan program Wacana Kedaulatan Raja-Warisan Yang Mesti Dipertahankan di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini hari ini.
Program yang melibatkan penyertaan Orang Besar Daerah, imam, nazir masjid, penghulu serta ketua kampung di seluruh Selangor itu diadakan bagi memberi penerangan serta pendedahan mengenai kedaulatan raja-raja yang termaktub dalam Perlembagaan. Titah baginda, kedaulatan Sultan Selangor hanya diperolehi sekiranya rakyat di negeri itu hidup aman, makmur dan harmoni selain kerajaan negeri itu yang membangun dengan pesat, maju serta dapat bersaing di peringkat global.
"Jika salah satu daripada perkara ini pincang atau tidak berfungsi, negeri Selangor akan mundur, kucar-kacir dan seterusnya kedaulatan sultan juga akan hilang," jelas baginda. Dalam pada itu, baginda turut menasihatkan Orang Besar Daerah, penghulu, ketua kampung, imam serta nazir sentiasa mendekatkan diri dengan rakyat selain memberikan perkhidmatan yang jujur dan telus kepada seluruh rakyat di Selangor.
Baginda turut mengingatkan golongan berkenaan agar tidak mengambil kesempatan daripada pangkat yang disandang untuk kepentingan diri sendiri.
2009 LAPORAN UTUSAN