Monday, December 28, 2009

MENJEJAK ADAT ISTIADAT

Adat istiadat dalam masyarakat Melayu bermula sejak seseorang itu lahir ke dunia. Sejak ibu mengandung hingga kanak-kanak yang dilahirkan itu membesar, berbagai adat istiadat dilakukan oleh orang Melayu. Antaranya ialah adat melenggang perut sewaktu ibu mengandung, mencecah garam, menjejak kaki ke bumi, menindik telinga dan beberapa acara perkahwinan dan kematian.

Antaranya adat melenggang perut diamalkan dikalangan keluarga diraja dan juga rakyat jelata apabila kandungan ibu genap tujuh bulan. Upacara ini dilakukan oleh Tuk Bidan dengan tujuan untuk membuang garuh atau kecelakaan yang mungkin menimpa ibu yang bakal bersalin. Ini adalah kepercayaan animisme pada unsur ghaib.

Di samping itu, adat ini juga bertujuan membetulkan kedudukan bayi di dalam perut ibunya. Bahan-bahan yang digunakan dalam upacara ini ialah beras kunyit, buah kelapa agar ibu dapat lahirkan anak dengan mudah dan selamat.
Bagi upacara mencecah garam ke mulut kanak-kanak, ia bersamaan dengan adat Hindu yang mencecah madu dan minyak sapi ke bibir bayi yang dilakukan oleh Brahmin supaya bayi itu panjang umur dan mendapat kebahagiaan di dalam hidupnya.

Tapi bagi Islam adat ini diganti dengan mencecapkan air zam-zam atau kurma. Pembacaan mantera yang biasa dilakukan sebelum adat itu dimulakan juga digantikan dengan pembacaan surah al-Fatihah dan surah al-Ikhlas kemudian dibacakan doa. Dalam adat perkahwinan pasangan yang berkahwin dikatakan raja sehari dan diadakan upacara bersanding sebagai kemuncak bagi upacara tersebut. Pasangan ini akan diletakkan di atas pelamin tanpa bergerak-gerak.

Penggunaan sirih pinang, beras kunyit dan berinai juga merupakan pengaruh Hindu. Walaupun unsur-unsur budaya lama seperti meminang, berinai, bersanding masih dikekalkan namun upacara itu banyak disesuaikan dengan lunas-lunas agama Islam kerana tidak bertentangan engan lunas Islam. Pernikahan yang dijalankan itu misalnya, hukum dilangsungkan mengikut syarak. Sebagaimana yang ditetapkan pengantin lelaki mesti melafazkan penerimaan nikah daripada wali atau kadi dengan disaksikan oleh 2 orang saksi.

Bagi melengkapkan upacara perkahwinan itu, diadakan kenduri-kendara sesuai dengan suruhan Nabi. Akhir sekali apabila seseorang yang meninggal, anak-anaknya akan mengadakan kenduri untuknya mengira hari iaitu seperti 7 hari, 40 hari dan 100 hari. Unsur-unsur ini telah kurang diamalkan kerana peraturan Islam kini lebih dominan tetapi masih diamalkan oleh sesetengah masyarakat orang Melayu sekarang.

Sumber: PKPMS Research Dept.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai