Kenyataan Media Rajamenangis
Rajamenangis menghormati keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi Malaya (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) yang telah mengenepikan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan nama ‘Allah’ di dalam penerbitan Herald Catholic Weekly. Rajamenangis juga akur akan keputusan yang telah dibuat oleh Yang Arif Hakim Datuk Lau Bee La kerana beliau mempunyai pendapat dan tafsiran tertentu mengikut hujah-hujah yang telah diutarakan oleh kedua-dua belah pihak.
Namun demikian Rajamenangis menyesali keputusan tersebut dan berharap Kerajaan Malaysia dan pihak Peguam Negara akan membuat rayuan yang sewajarnya ke Mahkamah Rayuan. Pada pandangan kami, keputusan Mahkamah keadilan dalam konteks kes ini perlulah dan seharusnya melihat kes ini dari aspek jurispruden sejarah (historical school) dan konteks ciri-ciri negara berlandaskan agama rasmi Islam yang mana ketuanya adalah Yang diPertuan Agong dan Sultan-sultan Melayu - lantas memberikan tafsiran yang harmoni dengan ciri ciri tersebut.
Oleh kerana Duli2 Tuanku adalah Ketua Agama yang tertinggi di negara ini, maka penggunaan nama "Allah" oleh mana-mana pihak atau badan yang bukan beragama Islam TANPA RESTU DAN PERSETUJUAN RAJA-RAJA MELAYU sebagai ketua agama Islam adalah ganjil, pelik, mengejutkan dan amat dikesali.
Sudut tafsiran Rajamenangis adalah sejajar dengan larangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan bertepatan dengan harapan setiap orang Islam yang bertuhankan Allah SWT.
Kami yakin Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan akan memberikan tafsiran yang sebaik-baiknya mengikut lunas undang-undang dan mengikut ciri-ciri jurispruden asal-usul Tanah Melayu, prinsip-prinsip interpretasi Perlembagaan dalam konteks Sejarah Tanah Melayu sebagai sebuah kumpulan negeri-negeri yang berlandaskan sistem Islam.