Saturday, February 13, 2010

ISLAM: Raja-Raja Melayu ambil ketetapan


Raja-Raja Melayu ambil ketetapan

RAJAMENANGIS MELAPORKAN: .- Raja-Raja Melayu dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu Ke-220 mengambil maklum pelbagai permintaan, surat dan memorandum pelbagai pertubuhan dan individu Islam di negara ini yang menzahirkan rasa dukacita mereka tentang penterjemahan perkataan 'God' kepada Allah. Menurut kenyataan pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini hari ini, penterjemahan itu telah banyak menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam.

"Isu ini jika tidak ditangani dengan segera akan menggugat kesucian agama Islam dan berkemungkinan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini dan Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kuasa kepada Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri di negara ini.

"Raja-Raja Melayu bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan dan kesucian agama Islam sebagai agama rasmi negara tanpa mengetepikan hak dan kebebasan beragama kaum-kaum lain. "Raja-Raja Melayu memberi jaminan untuk memenuhi tanggungjawab melindungi kesucian dan status agama Islam," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu, Raja-Raja Melayu turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia yang telah bertindak secara profesional bagi mengawal keadaan demi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

"Raja-Raja Melayu amat memahami tugas berat yang terpaksa mereka hadapi dan menyeru agar usaha-usaha pasukan keselamatan mengawal ketenteraman awam hendaklah diberikan sokongan sepenuhnya," kata kenyataan itu.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai