Sunday, June 13, 2010

ANUGERAH PINGAT DAN JAJAHAN JOHOR



Johor, gelaran dan mesej

Sudah lama kita tidak mendengar tindakan raja atau sultan menarik balik pingat, darjah dan gelaran daripada tokoh dan orang kenamaan.

Maka apabila Jumaah Majlis Diraja Johor (JMDRJ) mengumumkan tindakan berkenaan ke atas empat individu termasuk bekas Menteri Kesihatan, Chua Jui Meng dan wanita pertama merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir, ramai yang agak terkejut.

Istilah sebenar digunakan Istana Johor bagi penarikan balik pingat dan darjah adalah dipecat. Menurut kenyataan JMDRJ, pemecatan tersebut dilakukan kerana mereka tidak lagi menepati kriteria Undang-Undang dan Peraturan Darjah Mahkota Johor. Ia ada kaitan secara langsung dengan tindak-tanduk dan perilaku mereka, yang tidak mahu didedahkan oleh JMDRJ kerana mahu menjaga aib.

Jui Meng yang juga pemimpin PKR 'mendahului' senarai. Dua anugerah darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang diterima daripada Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar kini sudah tiada lagi. Kita yakin Istana Johor mempunyai sebab kukuh untuk bertindak demikian. Sultan Johor atas laporan JMDRJ mempunyai hak untuk melakukan pemecatan demi menjaga kemuliaan dan nama baik institusi diraja Johor.

Apa yang berlaku ini mempunyai mesej yang jelas kepada semua. Ia seharusnya menjadi pengajaran betapa para penerima anugerah terutama yang membawa gelaran perlu menjaga tingkah laku, budi pekerti, kesetiaan dan keharmonian kepada negara.

Perkembangan terbaru ini menampakkan Johor meneruskan tradisi yang tersendiri dalam mengurniakan darjah kebesaran dan juga pemecatan ke atas penerima. Semua orang tahu bukan mudah untuk mendapat darjah dan pingat Johor. Bilangannya juga paling kecil berbanding negeri lain. Malah orang Johor sendiri adakalanya mengeluh dan terpaksa mengharapkan kurniaan darjah dari negeri lain.

Tetapi Istana Johor tetap Istana Johor. Keunikan itu menjadikan darjah dan pingatnya dianggap lebih istimewa di kalangan para penerima. Begitu juga dari segi tindakan dan hukuman ke atas para penerima darjah Johor. Tiada kompromi. Ia bukan sahaja dipecat malah penerima gelaran tertentu perlu memulangkan semula darjah atau pingat ke istana.

--UTUSAN-
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai