Friday, June 25, 2010

BIASISWA MAJLIS RAJA-RAJA

BIASISWA MAJLIS RAJA-RAJA
Biasiswa Kumpulan Wang telah mulai dikeluarkan pada tahun 1967 kepada tiga orang pelajar dan kadar bayaran adalah mengikut biasiswa JPA. Buat masa ini (tahun 2009) seramai 36 penuntut sedang menuntut di 10 buah IPTA dan pengambilan baru bagi sesi 2009/2010 adalah seramai 15 orang. Bayaran biasiswa oleh Lembaga Kumpulan Wang adalah mengikut kadar bayaran yang sama dibuat oleh JPA dengan tambahan RM200 setiap penuntut. Jumlah keseluruhan penuntut yang diambil mulai tahun 1967 hingga tahun 2009 berjumlah 356 penuntut .

ANUGERAH PELAJARAN DIRAJA
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang ke-145 (Hari Yang Kedua) pada 6 November 1988, telah bersetuju mewujudkan satu Anugerah Pelajaran DiRaja yang dikenali sebagai Pingat Jaya Cemerlang. Tujuan anugerah ini ialah untuk memberi pengiktirafan yang tertinggi dan dianugerahkan kepada seseorang graduan yang mana mutu dan hasil pencapaian akademiknya adalah yang terbaik dan memenuhi kriteria berikut:-

* Keputusan peperiksaan keseluruhan;
* Aktiviti kokurikulum;
* Hadiah lain yang telah diperolehi;
* Perakuan dan laporan dari Dekan Fakulti yang berkenaan;
* Berkelakuan baik

Pingat Jaya Cemerlang ini mula diperkenalkan pada tahun 1989 untuk tujuh buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) iaitu dua orang graduan bagi tiap-tiap IPTA terdiri seorang Bumiputera dan seorang bukan Bumiputera Penerima anugerah adalah layak menerima:-

* Sebuah pingat emas bernilai RM1,000;
* Wang tunai RM1,000; dan
* Sijil

Kadar bayaran wang tunai telah dinaikkan kepada RM2,500 seorang mulai tahun 1995 dan RM5,000 seorang mulai tahun 2009. Sebanyak 17 buah IPTA dan dua orang graduan bagi tiap - tiap IPTA telah menerima anugerah ini. Seramai 422 orang graduan telah menerima Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang).

BIASISWA YANG DI-PERTUAN AGONG
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) mulai tahun 2006 telah melaksanakan program baru dikenali sebagai Biasiswa Yang di-Pertuan Agong atau King Scholarship selaras dengan keputusan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 3 November 2004 dan mendapat persetujuan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 16 Mac 2005.

Biasiswa ini diperkenalkan bagi memberi pengiktiraf akan kebolehan luar biasa seseorang calon untuk melanjutkan pengajian di peringkat pasca ijazah (Sarjana dan PhD) khasnya dalam bidang Sains dan Teknologi dalam dan luar negeri. Pemilihan pertama Biasiswa Yang di-Pertuan Agong telah dibuat pada 29 September 2006 iaitu lima (5) calon Sarjana dan lima (5) calon PhD. Majlis penyampaian biasiswa ini telah disempurnakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sumber : www.majlisraja-raja.gov.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai