Tuesday, August 17, 2010

Risikan: PERLEMBAGAAN VERSI BARU DI API APIKAN


Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mendakwa ada individu tertentu mengambil kesempatan menghasilkan perlembagaan baru menggantikan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.

Katanya, beliau difahamkan sekarang ini sudah ada perlembagaan baru dibuat di Alor Setar, Kedah dengan isi kandungannya antara lain menyebut mahu menyisihkan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam yang dijamin dalam perlembagaan sekarang.

"Kebetulan saya berceramah di Alor Setar. Ada seseorang datang memberikan saya tiga buku perlembagaan (baru) yang dikehendaki oleh pihak tertentu," katanya ketika menjadi panel dalam Wacana Perpaduan Ummah Dalam Kesedaran Penghakisan Hak Orang Melayu di Taman Budaya di sini, semalam.

Hadir sama, Penasihat Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Presiden Pertubuhan Pemikir Melayu Malaysia, Profesor Datuk Dr Kamarudin Kachar dan Naib Pengerusi Ulama Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Hafiz Nordin yang turut menjadi panel pada program itu.

Kira-kira 300 orang melibatkan ahli GMP, penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak dan aktivis Melayu termasuk Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada program anjuran GMP dan GPMS itu.

Harussani berkata, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan bangsa itu hilang kewibawaan sehingga kaum lain semakin berani membuat pelbagai tuntutan dan mahu hak keistimewaan orang Melayu dihapuskan.

"Kenapa kita berpecah belah hanya kerana salah tafsir iaitu melampau dalam berpegang pada syariat Islam. Sepatutnya kita semua bersatu. Saya tidak suruh hapuskan parti, tetapi saya minta orang Melayu pertahankan Islam dan hak mereka," katanya.

Ditanya berhubung individu yang terbabit dalam penghasilan perlembagaan baru itu, Harussani enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Harussani berkata, generasi muda harus bersatu padu bagi memastikan perpaduan dalam kalangan orang Melayu terjamin.

“Mereka perlu diberi kesedaran dengan menyertai wacana seperti supaya minda lebih terbuka bagi memelihara kepentingan hak orang Melayu yang semakin dipinggirkan," katanya.


DALAM PADA ITU Rakyat negara ini diperingatkan bahawa sebarang cadangan untuk menggantikan Perlembagaan Persekutuan boleh membawa padah negatif yang menyusahkan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, ini kerana ia semacam membuka ‘empangan bah sosiopolitik’ yang amat besar dan meluas implikasinya.

Dalam aspek ini, beliau khuatir kepentingan-kepentingan kontrak sosial sedia ada mungkin pecah dan merugikan banyak pihak terutama orang Melayu.

‘‘Sesuatu pindaan perlembagaan negara tidak harus dianggap mudah.

‘‘Cadangan itu juga bercanggah dengan gagasan 1Malaysia yang meletakkan ‘penerimaan’ sebagai salah satu tiangnya.

‘‘Pada masa ini, cadangan itu tidak mungkin lantaran tiadanya kuasa dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Dewan Rakyat. Lagipun perpecahan Melayu kini di bawah pelbagai badan politik tidak mengharuskan cadangan tersebut.

Apa-apa cadangan meminda perlembagaan dalam masa terdekat akan membawa implikasi berat yang menyukarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.



SUMBER:
UTUSAN MALAYSIA
SINAR HARIAN

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai