Thursday, October 21, 2010

Hak Melayu terkunci kemas dalam perlembagaan

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan."Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis (Raja-Raja) yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu.

"Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit, sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2010, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Ketika menyampaikan ucapan bertemakan “Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran" itu, Najib dengan tegas berkata, tindakan pihak tertentu yang kini mempersoalkan kedudukan Melayu sebagai bangsa yang dilindungi hak-hak tertentu, ternyata telah menimbulkan rasa kegusaran dan tidak puas hati terhadap bangsa Melayu yang terkenal dengan sikap dan sifat akomadatifnya.

“Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan kaum yang telah terjalin semenjak dahulu,” katanya diiringi tepukan gemuruh tanda sokongan daripada lebih 4,000 perwakilan dan pemerhati. – Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai