Sunday, October 3, 2010

NAJIB JADI PENDEKAR GAYONG MALAYSIA

PM terima anugerah kehormat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta orang Melayu supaya 'rapat dan masuk barisan' untuk meneruskan perjuangan kerana kuasa politik adalah senjata paling tajam yang perlu dipertahankan.

Perdana Menteri mengingatkan, kuasa yang dimiliki adalah asas kepada segala perjuangan dalam landasan agama, bangsa dan negara, justeru jangan membiarkannya terlepas ke tangan orang lain. "Ingatlah bahawa senjata paling tajam bukan keris tetapi kuasa politik yang ada di tangan kita. Selagi ada kuasa, Insya-Allah, ada esok lagi untuk kita semua(meneruskan perjuangan).

“Sebab itu, rapatlah barisan kita, masuklah dalam barisan, dan teruskan perjuangan kerana kitalah satu-satunya parti yang berjuang benar-benar atas landasan bangsa, agama dan tanah air kita,” katanya berucap merasmikan Majlis Perdana Gayong Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) dan Sambutan Hari Raya bersama Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan bahawa hanya bangsa yang dapat menguasai minda mengatasi orang lain akan berjaya dalam persaingan abad ke-21 ini.

Beliau berkata, abad ke-21 bukan abad di mana kekuasaan ketenteraan menjadi kuasa yang dapat kekal selamanya, malah jika diimbau kembali sejarah dan tamadun manusia, empayar yang bersandarkan kepada kekuatan ketenteraan tidak kekal.

“Tamadun akan naik dan tamadun akan runtuh pada akhirnya sekiranya sesebuah tamadun itu tidak didasarkan kepada kekuatan minda dan nilai. Sebab itulah saya ingin kita semua menyedari hakikat ini bahawa kita perlu menjadi anak Gayong dan bangsa Melayu yang cemerlang dalam abad ke-21 ini. “Kita tidak mahu melihat sesiapa menghina, memperlekeh dan memperkotak-katikkan kita. Ingatlah hanya kekuatan hakiki yang boleh menentukan kelangsungan bangsa, agama dan negara kita, insya-Allah,” katanya.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai