Friday, November 26, 2010

Tun Chong Eu Pernah Peringat Pentingnya Sejarah


Chong Eu Peringat Pentingnya Sejarah

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Tun Dr Lim Chong Eu terkenal sebagai tokoh yang jarang mengadakan temu bual dengan media, lebih-lebih lagi selepas beliau bersara daripada politik.

Selalunya, pertemuan beliau dengan petugas media tidak lebih daripada perbualan ringkas sahaja. Bagaimanapun, arkitek transformasi Pulau Pinang ini bersetuju mengadakan temu bual ringkas dengan "Penang Economic Review" bagi edisi pertama majalah itu Oktober lepas untuk membicarakan tentang kaitan erat antara masa kini dan masa akan datang.

Dalam temu bual itu, beliau menyentuh tentang sejarah, khususnya keadaan yang mendorong kedatangan British ke rantau ini.

"Apa dia East India Company? Kita patut ingat bahawa kita sebenarnya pernah diperintah oleh entiti komersial ini. Siapakah makhluk ini? Sebenarnya, kebanyakan penjajah pada zaman dahulu adalah lanun."

Kemudian, Chong Eu menyarankan agar penulis yang menemubual beliau membaca tentang sejarah Province Wellesley, semata-mata sebagai suatu cara untuk mengingatkan penduduk Pulau Pinang tentang betapa pentingnya mereka mempunyai minat terhadap sejarah awal negeri itu.

Penulis berkenaan berkata: "Inilah sebahagian daripada apa yang saya dapat. Mungkin banyak orang tahu bahawa Province Wellesley, yang diserahkan kepada British secara pajakan pada 1798, mendapat namanya sempena nama Richard Wellesley, yang menjadi Gabenor Besar British India ketika itu.

"Apa yang tidak diketahui ramai ialah saudara lelaki kepada aristokrat Ireland ini, Arthur, sembilan tahun lebih muda daripada abangnya itu dan pernah berkhidmat dengan cemerlang sebagai pegawai tentera di India, kemudiannya menjadi Duke of Wellington, yang mengalahkan Napoleon Bonaparte di Waterloo pada 1815.

"Selepas itu, Arthur menyandang jawatan Perdana Menteri Britain selama tujuh bulan pada 1828, dan walaupun seorang konservatif, beliau dikenang sebagai pemimpin yang memberi hak sivil sepenuhnya kepada penganut Katolik di United Kingdom," kata penulis berkenaan.

Mungkin, sejarah ini telah membentuk pendekatan praktikal yang menjadi amalan Chong Eu dalam berpolitik apabila beliau membuat keputusan bahawa Gerakan perlu menganggotai Barisan Nasional (BN) sebagai anggota pengasas parti gabungan itu.

Penang Economic Review memetik Chong Eu sebagai berkata: "Manusia tidak boleh sekali-kali lupa tentang jalur sejarah, lebih-lebih lagi di dunia sebelah sini, yang bersifat kepulauan serta banyak melibatkan pemindahan sumber. Oleh itu, politik dan ekonomi sentiasa berkait rapat. Pengeluaran adalah suatu hal, manakala logistik adalah suatu hal lain pula, yang tidak kurang pentingnya.

"Tapi, setelah sekian lama masa berlalu, kita masih menjadi mangsa kedudukan geografi kita dan cara ia membentuk pemikiran kita. Kita masih tidak dapat membebaskan diri kita daripada syarat yang dikenakan oleh geografi."


SUMBER:(c) Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai