Saturday, March 26, 2011

Hadis 40 Imam Nawawi

Semua sedia maklum bahawa kita telah mempunyai banyak jenis penerbitan versi Hadis 40 Imam Nawawi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa, sama ada dalam bahasa Melayu, mahupun dalam bahasa Arab atau Inggeris.

Bagaimanapun, kita belum menemui edisi hadis 40 yang bergambar. Walau pun ada sebahagian ulama yang mengharamkan semua jenis gambar, terutama gambar benda-benda bernyawa, namun ada sebahagian ulama yang mengharuskannya.

Sebabnya gambar bercetak di atas permukaan dua dimensi (2D) tidak berbayang dan tidak sama dengan patung atau berhala yang bersifat tiga dimensi (3D). Buku Hadis 40 Imam Nawawi ini adalah antara yang tersendiri dalam kelasnya, di mana setiap satu daripada 42 hadis yang terkandung dalam himpunan hadis 40 ini diiringi dengan gambar, pemandangan, objek, artifak dan grafik untuk menguatkan isi dan hujah serta menjelaskan lagi huraian hadis.

Pendekatan ini boleh menarik minat para pencinta fotografi dan grafik khasnya, dan pencinta seni amnya, untuk menghafal, memahami, menghayati dan mengamalkan kandungan hadis 40, berlatar belakangkan pemandangan yang indah dan penuh simbolik. Pendekatan ini juga membuktikan bahawa segala hasil karangan, ciptaan dan gubahan yang indah seperti foto, lukisan, kartun dan sebagainya, boleh berperanan penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan Islam.

Kita mahu lari daripada pandangan umum bahawa bahan-bahan seumpama itu sering melalaikan dan menyebabkan pembaziran, atau cuma dipergunakan oleh massa untuk hiburan yang melalaikan dan berunsur maksiat semata-mata. Walaupun begitu, kami tidak sekali-kali mengetepikan kepentingan matan dan teks hadis 40. Sebab itu dalam masa yang terdekat, kami juga akan menerbitkan versi Hadis 40 Imam Nawawi yang mengandungi teks dan huraian sahaja, tanpa gambar.

Adalah diharap, dengan penerbitan versi hadis 40 bergambar ini, akan bertambah lagi bahan ilmiah untuk bacaan dan koleksi umat Islam di negara ini khasnya dan di dunia amnya.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai