Tuesday, April 26, 2011

AKHBAR SUMBER POPULAR

KUALA LUMPUR 25 April - Surat khabar perlu dipulihara dan dikekalkan sebagai warisan intelek negara seiring dengan perkembangan teknologi digital.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menyimpan dan memulihara naskhah-naskhah surat khabar lama termasuk akhbar The Malay Mail terbitan 1 Disember 1896.

Beliau berkata, pemuliharaan akhbar-akhbar lama turut dilakukan beberapa negara termasuk United Kingdom walaupun terdapat akhbar online untuk rujukan generasi akan datang. Sehubungan itu, katanya, Perpustakaan Negara telah mengumpul, mendokumentasi dan memulihara sebanyak 622,000 naskhah surat khabar yang mengandungi 95 tajuk yang dicetak dalam pelbagai skrip dan bahasa.

Antara bahasa yang digunakan, katanya, termasuk bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin, Tamil, kaum etnik Sabah, Sarawak dan Punjabi/Urdu. "Surat khabar tetap akan menjadi bahan bacaan orang ramai di masa hadapan kerana ia adalah sumber pengisian yang integrasi di samping pendapatan iklan syarikat-syarikat akhbar tempatan meningkat 42 peratus dari RM2.7 bilion pada 2006 kepada RM3.9 bilion pada 2010," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Akhbar-Akhbar IFLA 2011 (International Federation of Library Associations and Institutions) Bahagian Akhbar di Perpustakaan Negara di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Datuk Raslin Abu Bakar; Pengerusi IFLA Bahagian Akhbar Frederick Zarndt dan Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohd, Sharif Mohd. Saad.

Katanya, sebanyak 13 kertas kerja akan dibentangkan pada persidangan bertema 'Akhbar dalam pelbagai skrip dan bahasa: Isu dan cabaran untuk warisan negara' yang bermula hari ini hingga Rabu. Menurut beliau, Pengurus Besar Bernama, Datuk Hasnul Hassan dan Pengerusi Bukan Eksekutif Media Prima Berhad (MPB), Datuk Johan Jaaffar antara yang akan membentang kertas kerja pada persidangan itu selain peserta Australia, Finland, Perancis, Jerman, India, Belanda, Amerika Syarikat dan Singapura.

Beliau memberitahu, mengikut laporan Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) jumlah pembaca akhbar cetak dan digital telah meningkat kepada 17.9 juta tahun lalu berbanding 15.6 juta pada tahun 2006.

www.utusan.com.my
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai