Wednesday, April 13, 2011

SULTAN SELANGOR - Imbau Sejarah Dan Ambil Iktibar Sebelum Lakukan Perubahan

Imbau Sejarah Dan Ambil Iktibar Sebelum Lakukan Perubahan - Sultan Selangor


KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa bertitah mana-mana kumpulan masyarakat yang ingin melakukan perubahan harus melihat sejarah dan mengambil iktibar daripada pengalaman generasi terdahulu.

Baginda bertitah sejarah tidak boleh dipandang remeh apatah lagi diketepikan sekali gus menjadikan pengetahuan dan kefahaman sejarah adalah suatu kewajipan kepada semua warganegara.

"Ini penting bagi orang Melayu dan juga bukan Melayu di mana mereka sebenarnya menikmati hak-hak tertentu berdasarkan sejarah, khususnya soal tolak ansur (kontrak sosial) dan hak-hak istimewa semasa rundingan kemerdekaan," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Pemacuan Transformasi Sistem Perundangan Islam Di Malaysia di sini, Selasa.

Turut hadir pada konvesyen anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Ikim Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sultan Sharafuddin Idris bertitah perkara itu dapat dilihat berasaskan Hukum Kanun Melaka yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah sekitar 1446 hingga 1456, yang dijadikan model dan panduan kepada negeri-negeri Melayu lain di Semenanjung sehingga melahirkan teks undang-undang seperti Undang-undang Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang Johor dan Undang-undang 99 Perak.

Undang-undang itu seterusnya menjadi asas kepada perlembagaan rasmi beberapa negeri Melayu contohnya Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor yang mensyaratkan bahwa Raja dan Sultan negeri itu hendaklah lelaki, beragama Islam, berdarah raja Johor dan berbangsa Melayu.

Baginda bertitah fakta sejarah itu membuktikan kewujudan sistem pentadbiran undang-undang Islam adalah seawal dan seiring dengan kedatangan Islam ke rantau ini apabila memberi kesan dan perubahan yang ketara terhadap adat resam, sosio-budaya, sistem ekonomi, politik dan perundangan sekali gus memberi pengiktirafan kepada kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

"Antara kebaikan utama pengiktirafan kedudukan Raja-Raja Melayu dalam Perlembagaan dan sistem demokrasi negara ialah ia boleh mengelakkan agama daripada dipolitikkan oleh parti yang memerintah dan memastikan agama dilaksanakan tanpa mengira kepentingan ahli politik yang menguasai kerajaan.

"Beta yakin dengan cara inilah peranan sebenar institusi kesultanan Melayu sebagai payung dalam membela, menjaga dan memartabatkan Islam akan berkesan dan memberi impak ketara kepada masyarakat dan negara sekali gus menjadikan Institusi Raja dan Sultan lebih dihormati, bukan ditakuti atau dicurigai," titah baginda.

Mengenai konvensyen itu, Sultan Sharafuddin bertitah semua wakil institusi agama yang menyertainya dapat memberikan idea, berbahas, mencapai persetujuan, menghasilkan rumusan bernas dan merangka pelan tindakan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi menjayakan program tranformasi itu.

Konvensyen dua hari itu antara lain bertujuan memberi pendedahan tentang sejarah, kedudukan cabaran dan realiti semasa sistem perundangan negara, membuat penilaian ke atas institusi Islam yang berkaitan dalam tadbir urus hal ehwal perundangan Islam dan mengemukakan cadangan atau rumusan penyelesaian holistik ke arah lonjakan perubahan secara cekap, bertenaga, agresif, dinamik dan sistematik.

Ia disertai 200 pegawai kanan dari institusi agama termasuk Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Jabatan Peguam Negara (Seksyen Syariah), Majlis Agama Islam Negeri dan Persatuan Peguam Syarie Malaysia.



Sumber 2011 -- (c) BERNAMA

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai