Saturday, April 9, 2011

TITAH RAJA MUDA PERLIS

KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu pelan penampan banjir diberi keutamaan dalam rancangan pembangunan di Perlis antaranya dengan melaksanakan sistem perparitan dan saliran yang berkesan.

Baginda turut berharap rakyat juga membantu menangani masalah banjir dengan memastikan semua sungai di Perlis bebas daripada sampah sarap dan kekotoran yang menghalang kelicinan aliran air.

"Fenomena cuaca luar biasa menyaksikan berlaku dua kali banjir dalam tempoh empat bulan. Ini sedikit sebanyak mengubah persepsi umum rakyat Perlis bahawa negeri ini hanya menghadapi banjir besar lima tahun sekali," titah baginda ketika merasmikan program Titian Kasih Yayasan Tuanku Syed Putra di Kuala Sanglang dekat sini hari ini.

Banjir terbaru berlaku pada 30 Mac sehingga 6 April lalu menyebabkan lebih 6,000 penduduk terpaksa berpindah. Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.- Bernama
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai