Ia berkisar tentang kisah yang diadaptasikan daripada buku SEJARAH MELAYU, julung-julung kalinya dipersembahkan ke dalam bentuk novel. Shali, seorang peguam dan Zai, seorang novelis, meski pun daripada bidang yang berbeza, telah menggandingkan kekuatan masing-masing dan bersatu tekad dalam menzahirkan sebuah karya yang sarat dengan debaran daya juang, yang manis dengan korban cinta, yang merah dengan kisah tempur dan yang indah dengan alunan bahasa.
SINOPSIS
Karya yang menjanjikan kelainan dalam seni penulisan dan yang mencetuskan satu kemungkinan dalam sejarah tanah Melaka. Karya ini melakar pewarisan sebuah kesultanan yang telah sirna pada hakikatnya; kita dibawa mengintai ke alam mitos namun tetap berpijak di bumi nyata. Pentas kehidupan bak sandiwara yang wujud gembira dalam duka, ria dalam lara. Di celah-celah bait dan ungkapan, kita melarik yang fantasi dan yang realiti; di sini kisah raja akan dibaca rakyat jelata.
Karya ini mengisahkan pelbagai peristiwa sebenar yang dialami oleh Datuk Paduka Bendahara Raja Tun Seri Lanang ketika menulis karya besar SEJARAH MELAYU. Di penghujung kesaksian Tun Seri Lanang, maka bermulalah satu perjalanan liku hidup pewaris Sultan Mahmud Syah, Melaka selama 500 tahun yang merentasi dimensi masa dan peradaban, saling berputar antara realiti sedar dan impian mistik dunia Melayu. Ia sebuah nukilan yang bersandarkan kepada kisah-kisah sebenar dalam sejarah kita; lantas menjanjikan unsur-unsur kemelayuan yang penuh debaran yang memaku perhatian si pembaca sehingga ke akhirnya.
AIR MATA RAJA menyuntik semangat - biar siapa pun kalian; tidak kira di mana pun berada. Ia lambang sebuah perjuangan yang menjanjikan sesuatu yang belum pasti. Namun, tetap wujud. Maka carilah ia.