Saturday, September 17, 2011

Nasihat DYMM Raja Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menasihati bakal-bakal haji supaya menjaga nama baik negara dengan tidak membabitkan diri dalam kegiatan negatif ketika berada di Tanah Suci.

Dengan bilangan besar umat Islam seluruh dunia berkumpul di Tanah Suci, mereka perlu mengelak daripada menyertai perhimpunan haram yang dianjurkan pihak tertentu kerana tanggungjawab utama bakal Haji ialah untuk menunaikan fardu Haji dan bukan dengan maksud lain, titah baginda semasa merasmikan Kursus Haji Perdana peringkat negeri Perlis di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, mereka perlu mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi dan tindak tanduk yang membelakangi undang-undang negara itu bukan sahaja akan menyusahkan diri sendiri malah Tabung Haji.

Raja Perlis turut menasihati bakal-bakal Haji supaya menjaga kesihatan sebaik mungkin bagi membolehkan mereka dapat mengerjakan ibadat Haji dengan sempurna. Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Tabung Haji, Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, 315 umat Islam di Perlis menunaikan fardu haji pada tahun ini dan mereka adalah antara 27,900 umat Islam yang terpilih di negara ini bagi menunaikan ibadah itu tahun ini.

Katanya, Tabung Haji menyediakan pelbagai kemudahan untuk jemaah Haji negara ini termasuk khidmat kesihatan, kursus haji, klinik, hospital, pakar rujuk, perubatan, kaunseling, bahan rujukan, air zam-zam dan makanan. Turut hadir di majlis itu ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu. - BERNAMA
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai