Monday, September 19, 2011

REAKSI PERKASA - PEMANSUHAN I.S.A

Tambah baik akta ganti ISA, pelihara Artikel 153


KUALA LUMPUR 18 Sept. – Kerajaan diingatkan supaya mengekal serta menambah baik unsur pencegahan dalam akta baru yang bakal menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk menangani provokasi terhadap Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana unsur pencegahan serta pemulihan dalam ISA adalah sebagai instrumen polis yang terbukti berjaya memelihara keamanan dan keselamatan negara.

Namun, katanya, kerajaan juga perlu menambah baik undang-undang penahanan pesalah dalam ISA seperti mengurangkan tempoh tahanan serta membenarkan ahli keluarga melawat tahanan dengan lebih kerap.

“Semangat pencegahan seperti dalam ISA adalah penting kerana ia dapat memastikan keselamatan semua rakyat di negara ini dan tiada kompromi mengenai keselamatan rakyat.

“Jika unsur pencegahan dalam ISA tidak dapat dipertahan, Perkasa mengambil pendirian untuk menolak sekeras-kerasnya akta baru tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar Ahli Dewan Tertinggi Perkasa di sini, hari ini.

Khamis lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan ISA serta beberapa akta lain untuk digantikan dengan akta berkaitan kegiatan subversif serta pelampau agama bersesuaian dengan peredaran masa.

Mengulas lanjut, kata Ibrahim, unsur pencegahan dalam ISA amat penting bagi memastikan sesuatu kegiatan jenayah dan kekacauan fabrik sosial di negara ini tidak berlaku seperti kegiatan Al-Maunah dan Al-Arqam satu masa dahulu.

Namun, katanya, kekacauan dalam masyarakat sosial terus berlaku pada era moden ini seperti penghinaan terhadap agama Islam melalui media baru yang mudah meresapi rakyat.

“Ini bukan cauvinis tetapi Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan termaktub dalam undang-undang tertinggi negara namun dalam kes tertentu, tiada tindakan boleh diambil, sebagai contohnya kebelakangan ini terdapat gambar lucah serta babi diletakkan di atas Kaabah dan ia tersebar luas dalam Internet.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tahu pelaku gambar tersebut tetapi tidak dapat mengambil tindakan dan di sini unsur pencegahan diperlukan,” tegasnya.

Justeru, katanya, Perkasa akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam masa terdekat bagi mendapatkan kepastian beliau mengenai pengekalan unsur pencegahan dalam akta baru itu.

Perkasa turut meminta kerajaan supaya mengkaji keperluan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta Akta Rahsia Rasmi (OSA) jika berupaya mengekalkan unsur pencegahan dalam akta baru tersebut.


(C) PERIBUMIPERKASA

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai