Showing posts with label mistik. Show all posts
Showing posts with label mistik. Show all posts

Thursday, October 22, 2009

PANAS: ISU SEJADAH BERDIRI SOLAT
































Jangan perbesar isu sejadah 'berdiri': YB Jamil Khir

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, tidak mahu isu sejadah berdiri yang hakikat kebenarannya masih tidak dapat dibuktikan sehingga kini tidak diperbesar-besarkan oleh masyarakat Islam negara ini.

"Cerita itu adalah cerita yang ada persoalan besar untuk ditanya kebenarannya, sejadah berdiri di sekolah, di Pasir Mas dan sebagainya,
kejadian itu tak dibuktikan bagaimana ia berlaku, gambar pun tak diambil, orang pun tak nampak cuma alih-alih sejadah sudah berdiri...ia tak perlu diperbesarkan.

"Dalam hal ini jika ia benar berlaku...kalau ada orang nampak, itu adalah kebesaran Tuhan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Menuju ke Makkah: Catatan Perjalanan Sepanjang Zaman di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini hari ini.

SOALAN: BETUL KE MENTERI KITA NI? KALAH MAT SALLEH.

Wednesday, October 14, 2009

Apa misteri Pulau Seribu Meriam?

BUKIT Cenning, Pulau Daik Lingga, Indonesia adalah sebahagian daripada benteng pertahanan utama menentang Belanda dan Sultan Abdul Rahman (Raja terakhir Johor Riau Lingga) sebelum melarikan diri ke Singapura. Benteng 32x30m di Kg.Seranggung dibangunkan ketika pemerintahan Sultan Mahmud Shah III (1761-1812).

“Kamu tengoklah sendiri dan kira berapa jumlahnya. Nanti bila sudah keluar kita bincang berapa yang kamu nampak. Kalau kamu ada rezeki lebih, kamu dapat lebih,” kata Sulaiman Atan (Pak Long), penjaga muzium Pulau Daik Lingga bila ditanya berapakah jumlah meriam di situ.

Pak Long meminta kami membaca Surah al-Fatihah serta selawat kepada Rasulullah SAW sebanyak tiga kali untuk disedekahkan kepada pejuang Islam yang terkorban dalam peperangan ketika mempertahankan tanah air menentang penjajah. Selepas itu, penulis mula mengira jumlah meriam. Pak Long dan pembantunya memerhatikan dari jauh.

Dari kanan ke kiri, jumlah 19, dari kiri ke kanan, jumlah masih 19. Dari tengah menghadap bahagian depan muncung, jumlah 19 meriam lama. Jurufoto pula mencatat sesuatu di tapak tangan kirinya sambil merakam gambar. Sepanjang tempoh itu tiada sesiapa menyebut berapa jumlahnya. Banyak meriam di situ dirosakkan penjajah Belanda dengan menutup lubang pencucuh api menggunakan paku.

Meriam paling panjang berukuran 280 cm, bergaris pusat 12 cm digelar Meriam Tupai Beradu kerana ada dua ukiran tupai besi di atasnya. Meriam utama diapit dengan meriam Mahkota Raja dan satu meriam putih yang terukir jelas catatan tarikh 1797 (24-3-21).
Semua meriam itu disusun atur pada kedudukan seperti huruf ‘U’. Muncungnya dihalakan ke laut. Kedudukannya di atas puncak bukit memang strategik untuk menyerang kapal yang menghampiri pulau.

Sebaik saja melangkah keluar dari kawasan kubu, Pak Long bertanya jumlah meriam yang kami hitung. Penulis katakan, semuanya 19 dengan dua disusun menegak di kiri dan kanan manakala 15 lagi secara melintang. Jurufoto pula menunjukkan tapak tangannya, tertera nombor 24, 23, 18, 19, 18, 18, 19. “Cukuplah, dah banyak kali aku kira. Semuanya berbeza, dikira secara mata kasar lain, bila dikira dalam kamera, jumlahnya berubah-ubah,” katanya.

Hakikatnya foto di dalam kamera digital boleh dibesarkan dan berada dalam keadaan tetap tetapi jumlahnya sentiasa berubah setiap kali dikira.
Jawapan itu membuatkan Pak Long tersenyum kerana katanya itu bukan pertama kali beliau mendengar penjelasan pengunjung mengenai jumlah meriam yang dikira sering berubah. “Itu rezeki kamu, kamu dapatlah lebih. Sebab itulah pulau ini digelar pulau seribu meriam,” katanya mengatur langkah menuruni bukit membuatkan kami terpinga-pinga.

Sumber ~ Mohd Azis Ngah, Berita Harian

Monday, September 28, 2009

Destar / Tengkolok DiRaja

• Dendam Tak Sudah : Tengkolok Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tengkolok yang dipakai oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Hari Pertabalan adalah berwarna hitam bersulam benang emas. Soleknya dinamakan Dendam Tak Sudah yang berasal dari Negeri Sembilan. Di bahagian hadapan tengkolok ini dipasangkan anak bulan dengan bintang pecah empat belas yang diperbuat daripada emas putih dan ditengah-tengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia yang berwarna-warni.

• Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Kedah Darul Aman Pakaian hulu D.Y.M.M Sultan Kedah Darul Aman ini adalah ikatan baru yang berasaskan kepada ikatan Dendam Tak Sudah dari Negeri Sembilan. Ikatan ini dicipta setelah terjalin perkahwinan diraja antara Negeri Kedah dan Negeri Sembilan. Destar daripada kain songket berwarna hitam ini adalah pakaian hulu rasmi baginda. Daun lambaian kasihnya menghala ke kanan manakala pucuk destar yang melambangkan kuasa terletak di sebelah kiri, yang menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah.

• Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Di Negeri Sembilan istilah destar disebut sebagai deta sahaja. Destar daripada songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi D.Y.M.M Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Sewaktu memakainya, kedudukan pucuknya yang dipanggil “tunas kasih” harus diletak tepat di atas mata kiri dan daun lambaian kasihnya pula dihalakan nke arah kanan. Cara ini menunjukkan pemakainya adalah raja yang memerintah negeri.

• Sekelungsung Bunga : Tengkolok KDYMM Sultan Pahang Darul Makmur Di Negeri Pahang Darul Makmur terdapat beberapa jenis destar yang pernah dipakai oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang. Tengkolok ’Sekelunsung Bunga’ yang diperbuat daripada kain songket yang warna natarnya biru kundang bersulam kencana ini adalah pakaian hulu rasmi yang dipakai D.Y.M.M Sultan Pahang pada masa sekarang.

Walaupun bentuk destar ini agak ringkas dengan bahagian daunnya melonjong ke atas dan bahagian bawahnya mengembang seperti sebuah kelungsung bunga, seperti terdapat perbezaan di antara destar yang dipakai oleh kerabat diraja dengan destar yang dipakai oleh orang biasa, khususnya dari sudut posisi daun dan pucuk destar yang dipanggil ’sula’.

•
Ketam Budu : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Kelantan Darul Naim Destar jenis ini merupakan ikatan hulu yang dipakai oleh D.Y.M.M Sultan dan pembesar di Negeri Kelantan, perbezaannya hanya pada warna natar kain destar dan sedikit bentuk bunga pucuk di bahagian atas depan kepala yang menyerupai bunga mekar. Ikat kepala ini dapat dikenali dengan mudah kerana ikatannya menutup seluruh bahagian kepala pemakai, tidak seperti jenis-jenis destar lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

•
Ayam Patah Kepak Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Perak Darul Ridzuan Destar berwarna putih bersulam benang perak yang diberi nama Ayam Patah Kepak ini, adalah pakaian hulu khusus untuk D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan masa kini. Dalam etika berpakaian adat-istiadat melayu, warna adalah unsur penting kerana warna menggambarkan kedudukan atau status sosial seseorang. Putih adalah warna khusus untuk Raja Perak manakala kuning adalah untuk D.Y.T.M Raja Muda dan warna hitam untuk D.Y.A.M Raja Di Hilir, Perak.

• Dendam Tak Sudah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Perlis Tengkolok Dendam Tak Sudah digunakan sebagai pakaian rasmi D.Y.M.M. Tuanku Raja Perlis. Warna natarnya kuning muda, manakala lipatannya sebanyak lima takuk bernama lipatan daun palas.




• Setanjak Balung Raja : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Selangor Darul Ehsan Destar daripada jenis kain songket berwarna kuning ini adalah pakaian hulu rasmi D.Y.M.M. Sultan Selangor. Ia dipakai oleh Baginda Sultan dalam majlis adat istiadat Diraja Negeri Selangor, seperti Istiadat Pertabalan, Hari Keputeraan dan lain-lain. Reka bentuk destar ini diambil daripada Tengkolok Balung Ayam dari negeri Perak, setelah terjalin perkahwinan diraja di antara kerabat Negeri Selangor dan Perak.

• Belalai Gajah : Tengkolok KDYMM Sultan Negeri Terengganu Darul Iman Destar Belalai Gajah adalah pakaian rasmi bagi D.Y.M.M. Sultan Terengganu. Destar ini diperbuat daripada kain songket bunga penuh warna kuning.
Daun pada bahagian atas depan destar ini dibentuk secara menggulung ke atas, seakan-akan seekor gajah sedang melambung belalainya. Bahagian bawahnya pula terdapat tiga takuk lipatan dan pucuk destar yang disebut sula diletakkan pada sebelah kanan, melambangkan pemakainya adalah seorang raja.

Sumber : posmalaysia.com.my

MISTIK: Warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga


Warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga

Meriam tegak ada penunggu



USIK mengusik, gurau senda suami isteri boleh membawa bahagia, tetapi jika berlebihan dan tidak kena pada tempatnya boleh membawa padah, apatah lagi jika membabitkan individu yang dikatakan mempunyai ilmu kebatinan tinggi.

Itulah yang berlaku kepada pasangan Che Wan dan suaminya dikenali Che Noh yang menetap di perkampungan Melayu Riau, di Pulau Dabo Singkep, Kepulauan Lingga, Riau, Indonesia kira-kira 200 tahun dulu.


Logiknya, jika meriam besi itu cuma terbenam 0.33 meter ke dalam tanah berpasir, ia cukup mudah untuk dikeluarkan, tetapi meriam ini mempunyai misteri tersendiri.

Kedudukannya di tepi jalan berturap di kawasan peranginan Pantai Batu Berdaun menyebabkan ada usaha mengalihkan ke tempat yang lebih selamat untuk ditempatkan di muzium.

Anehnya, semua percubaan untuk mengalih meriam dipercayai berusia lebih 200 tahun itu tidak pernah berhasil, padahal logiknya, jika digali dengan tangan pun memadai untuk mengeluarkan meriam berkenaan kerana ia tertanam di kawasan berpasir.

Penduduk di situ percaya meriam itu ada penjaganya kerana ia bukan sembarangan meriam. Mereka percaya ia dipacak di situ dan ‘dikunci’ hingga sekarang. Apabila pemegang ‘kunci’ (Che Wan) itu sudah meninggal, tiada sesiapa lagi yang boleh mengubahnya.

Hinggalah sekarang tiada siapa yang tahu, tetapi yang pastinya mereka sepakat biarlah meriam itu bersemadi di situ bersama penjaganya.

Ini kerana penduduk pernah menggunakan jentolak untuk mengorek lubang mengeluarkan meriam berkenaan, hasilnya cangkuk utama jengkaut patah dua, manakala enjin jengkaut rosak. Pemandunya lari ketakutan kerana terkena ‘teguran’ penjaga meriam yang marah kerana cuba mengganggu kawasannya.

Cubaan diteruskan dengan membawa beberapa orang dukun bagi memudahkan urusan mengorek keluar meriam. Nasibnya berbeza, jengkaut tidak patah, tetapi sebaik saja mata cangkuk mencecah tanah, badan jentera pengaut itu tiba-tiba terangkat di bahagian belakang.

Seolah-olah mengorek benda yang terlalu keras hingga mata jengkaut pun tidak boleh masuk ke dalam pasir menyebabkan lagi sekali pemandunya lari ketakutan dan dikatakan demam berminggu-minggu.

Sepanjang laluan di pantai Batu Berdaun itu memang ada banyak meriam lama kerana di situ dikatakan antara benteng pertahanan utama kerajaan Melayu Johor Riau Lingga menahan asakan serangan meriam Belanda yang berpangkalan di Kampung Batu Bongkok.

Bagaimanapun, dua lagi meriam berhampiran sudah dialihkan dengan bantuan beberapa dukun yang meminta ‘izin’ mengalihkan meriam berkenaan.

Penduduk, Abdul Rani Atan Leman, berkata berdasarkan cerita lisan waris keturunan pasangan Che Wan dan Che Noh yang dikenali dengan panggilan Mak Cik Indon, berusia 78, mereka pernah mendapat mimpi supaya meriam dan apa saja barangan peribadi pasangan itu dijaga dengan baik.

“Dua lagi meriam sudah diizinkan untuk dialih, tetapi pelbagai hal berlaku. Satu daripadanya dihantar ke Lingga, dipadankan dengan pasangannya dan dibiarkan di situ. Itu warisan kerajaan Melayu Johor Riau Lingga.

“Satu lagi dibawa ke Pulau Penyengat, Tanjung Pinang menaiki kapal. Dalam perjalanan, kapal itu karam, tetapi meriam itu berjaya diselamatkan. Sebab itu sampai sekarang penduduk tidak berani nak usik meriam tegak itu.

“Pernah berlaku meriam itu sudah hampir dikeluarkan, sudah senget, tetapi apabila datang semula esoknya, meriam itu tegak semula seperti asal. Mereka gali lagi, tinggalkan kawasan itu sebab hari gelap, tetapi apabila datang semula, meriam itu sudah tegak seperti asal,” katanya.

Apa yang boleh dilakukan hanyalah meletakkan pagar kecil di keliling meriam pacak itu sebagai tanda peringatan. Disebabkan kejadian aneh itu, kawasan itu turut menjadi tumpuan peminat nombor ramalan untuk mencuba nasib.

Penduduk pernah terserempak dengan beberapa kumpulan sedang ‘menurun’ nombor ekor pada waktu tengah malam tetapi mereka sekadar memerhatikan saja apa yang akan berlaku. Keesokannya heboh cerita kumpulan itu bertempiaran lari seolah-olah dikejar sesuatu.

Penulis berpeluang melihat sendiri meriam berkenaan dan mendapati kedudukan meriam itu tegak 90 darjah, langsung tidak senget walaupun sudah berada di situ sejak ratusan tahun dulu, padahal kedudukan berhampiran pantai dan ada kalanya dilanda ombak besar.

Sumber: (c) 2009 Berita Harian
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai