Showing posts with label putera raja. Show all posts
Showing posts with label putera raja. Show all posts

Tuesday, September 28, 2010

DYMM Sultan Pahang dan Salasilahnya

Kesultanan Negeri Pahang adalah daripada keturunan Raja-Raja dan Bendahara Melaka yang merupakan keturunan daripada Sang Nila Utama dengan puteri Demang Lebar Daun dari Palembang iaitu Raden Ratna Cendera Puri. Kesultanan Negeri Pahang telah wujud semenjak zaman Melaka apabila Sultan Muhammad Shah iaitu putera kepada Sultan Mansur Shah dengan Puteri Onang Sari yang dilantik menjadi sultan yang pertama bagi Negeri Pahang.

Sebelum itu, Pahang telah diperintahkan oleh Kerajaan Siam.
Pada tahun 1614, berlaku peristiwa di mana perebutan kuasa antara Sultan Abdul Ghafur dengan anggota keluarganya dan berakhir dengan satu pembunuhan di mana Sultan Abdul Ghafur dan Raja Muda Abdullah terbunuh. Bagi mengekalkan pemerintahan Negeri Pahang, Sultan Ahmad telah dilantik Sultan Ahmadsebagai Sultan di Pahang. Pada tahun 1617, Kerajaan Acheh telah menyerang Pahang di mana Sultan Ahmad bersama anggota keluarganya telah dibawa ke Acheh. Dengan ini, berakhirlah era pemerintahan Kesultanan Pahang yang berasal daripada zuriat Sultan Melaka secara langsung.

Seterusnya, pemerintahan Negeri Pahang telah diletakkan di bawah Kesultanan yang berpusat di Johor. Di bawah kesultanan tersebut, pemerintahan Negeri Pahang diletakkan di bawah pemerintahan seorang Bendahara. Keadaan ini berterusan sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II. Namun demikian, pemerintahan Sultan Mahmud Shah II (Marhum mangkat dijulang) tidak lama, di mana Baginda telah terbunuh dalam peristiwa menuntut bela oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bentan) di atas kematian isterinya yang diriwayatkan sebagai di bawah titah Sultan Mahmud Shah.

Oleh kerana Baginda tidak meninggalkan zuriat, maka pemerintahan telah berpindah kepada Bendahara pada masa itu iaitu Bendahara Paduka Raja, Tun Abdul Jalil anak Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid (Marhum Padang Saujana).
Tun Abdul Jalil (Marhum mangkat di Kuala Pahang) menaiki takhta kerajaan dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV. Seorang putera Baginda bernama Tun Abbas dijadikan Bendahara yang memerintah di Pahang. Seorang lagi putera Baginda, Tengku Sulaiman menggantikan Baginda sebagai Sultan bagi Kerajaan Johor-Pahang-Riau, dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Dari zuriat Tun Abbas inilah lahirnya pemerintahan negeri Pahang daripada kalangan Bendahara sehingga pemerintahan Bendahara Siwa Raja, Wan Ahmad.

Pada tahun 1824, pihak Belanda telah mengikat perjanjian dengan Inggeris yang mengakibatkan pemisahan pemerintahan di antara Riau dengan Johor dan Pahang. Setelah kuasa Raja di Riau dirampas oleh Belanda, maka pemerintah Pahang dan Johor telah mengisytiharkan pemerintahan sendiri dengan memakai gelaran Sultan. Kesultanan Pahang yang ada pada hari ini telah bermula dengan Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah pada tahun 1882 dan dari zuriat Baginda, kekalnya Raja Pemerintah Negeri Pahang hingga ke hari ini.

sumber : hazaldn.com

Monday, September 27, 2010

LEGASI KESULTANAN KELANTAN

TUANKU Muhammad Faris Petra selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Pemasyhuran itu pantas mencipta sejarah keluarga diraja di negara ini kerana baginda dilantik menjadi Sultan memerintah negeri ketika ayahandanya masih hidup.

Namun, perlantikan baginda dibenarkan mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).
Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan. Lima belas ahli MPN Kelantan yang bersidang itu sebulat suara bersetuju Tuanku Ismail Petra memerlukan pengganti berikutan gering baginda berlarutan sejak lebih setahun lalu.

Salasilah keluarga Sultan Muhammad ke-V bermula dari keturunan Long Yunus Long Sulaiman, Sultan yang memerintah Kelantan antara 1765-1795. Tuanku Ismail Petra iaitu ayahanda Sultan Muhammad ke-V, yang juga putera tunggal kepada Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Raja Perempuan Tengku Zainab II, ditabalkan sebagai Sultan Kelantan pada 30 Mac 1979, susulan kemangkatan ayahandanya ketika menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 29 Mac 1979.

Sultan Muhammad ke-V dilantik ayahanda baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan, pewaris takhta kerajaan pada 6 Oktober 1985, sebelum diangkat sebagai Pemangku Raja Kelantan pada 24 Mei 2009 berikutan keadaan Tuanku Ismail Petra yang gering. Kemakmuran dan keindahan negeri menjadikan Kelantan turut dikenali dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Tanjung Pura.

Kewujudan banyak pondok kendalian ulama termasuk Tok Kenali dan Tok Selehor, yang menjadi tumpuan umat Islam mendalami ilmu agama membuatkan Kelantan menerima jolokan negeri Serambi Makkah.
Berdasarkan buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim tulisan Mohd Zain Saleh, Kesultanan Kelantan dalam lipatan sejarahnya dikaitkan dengan kisah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang pernah ditabal sebagai raja yang bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan.

Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang yang dipercayai tidak pernah berkahwin itu dikatakan terkenal sehingga menjadi tumpuan pedagang dalam dan luar negeri termasuk dari Arab. Wanita pertama menjadi Raja Kelantan itu juga dikatakan memiliki seekor kijang sebagai binatang peliharaan kesayangannya sehingga gambar binatang itu diterap di atas wang emas perbelanjaan negeri dan diabadikan sebagai sebahagian daripada lambang kebesaran negeri hingga kini. Ketika pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, ada sebuah kerajaan berpusat di Jembal yang diperintah oleh Raja Sakti (1638M atau 1046H).

Selepas baginda mangkat, puteranya, Raja Loyor ditabal sebagai raja pada 1649M atau 1059H dan mempunyai dua anak termasuk Puteri Saadong.
Kerajaan Cik Siti Wan Kembang bersahabat baik dengan Raja Loyor, terutama selepas wanita pertama memerintah di Kelantan mengambil anak Raja Loyor, Puteri Saadong sebagai anak angkat untuk dijadikan pewaris takhta baginda. Puteri Saadong dikatakan pernah menjadi tawanan Raja Siam, sebelum terpaksa membebaskan baginda selepas puteri berkenaan mengubati penyakit dihidapi raja itu. Selain kisah Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong yang masih dianggap sebagai mitos sesetengah pihak, Kelantan juga pernah menyaksikan beberapa episod perebutan takhta untuk menguasai pemerintahan negeri ini.

Berdasarkan, buku Keluarga Diraja Kelantan Darul Naim, antara perebutan takhta yang pernah berlaku dalam sejarah negeri ini membabitkan Long Muhamad yang juga Sultan Muhamad I dengan iparnya iaitu Tengku Muhamad.
Kemelut tercetus ketika itu apabila Long Yunus mangkat tanpa menamakan penggantinya, walaupun mempunyai ramai pewaris.

Keadaan diburukkan apabila tiada kesepakatan dicapai membabitkan tujuh putera Almarhum Long Yunus untuk melantik seorang daripada mereka sebagai raja.
Berikutan itu, menantu Almarhum Long Yunus, Tengku Muhamad yang juga putera Yang Di-Pertuan Terengganu, Sultan Mansur, dilantik sebagai Pemangku Sultan selama 100 hari bagi membolehkan jenazah Long Yunus dimakamkan sekali gus membolehkan pemerintahan negeri berjalan seperti biasa.

Bagaimanapun, selepas tempoh 100 hari tamat, Tengku Muhamad enggan menyerahkan takhta menyebabkan timbul perbalahan perebutan kuasa membabitkan dirinya dengan Long Muhamad.
Pertembungan antara mereka bagaimanapun menyebelahi Long Muhamad, sekali gus membolehkan baginda menaiki takhta kerajaan mulai 1800 dengan gelaran Sultan Muhamad I.

Sumber : www.bharian.com.my

Tuesday, September 21, 2010

ISU TAKHTA: DYMM SULTAN ISMAIL SAMAN PUTERANYA


Tuanku Ismail fail petisyen lantikan Sultan Kelantan tak sah

KUALA LUMPUR: Tuanku Ismail Petra memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan semalam, bagi mendapatkan pengisytiharan pelantikan anakandanya Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan sebagai tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan. Peguam mewakili Tuanku Ismail Petra, Datuk Param Cumaraswamy, berkata pihaknya memohon mahkamah untuk campur tangan dan mengisytiharkan Tuanku Ismail Petra masih menjadi Sultan Kelantan yang sah. Katanya, Tengku Muhammad Faris Petra ketika menjadi Pemangku Raja tidak mempunyai kuasa meminda perlembagaan negeri atau berkuasa melantik anggota Majlis Perajaan Negeri Kelantan. Dalam petisyen ini, Tuanku Ismail Petra tidak menerima dan mengiktiraf pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru, katanya pada sidang media di sini, semalam. Media sebelum ini melaporkan kemelut Istana Kelantan berakhir apabila Pemangku Raja, Tuanku Muhammad Faris Petra, 41, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Ke-29 pada 13 September lalu, menggantikan ayahanda baginda, Tuanku Ismail Petra, yang gering sejak lebih setahun lalu. Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Shukri Mohamad sebelum ini menegaskan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah kerana dibuat berdasarkan perlembagaan negeri. Tuanku Ismail Petra sebelum ini sudah memfailkan dua petisyen di mahkamah sama masing-masing pada 5 Mei dan 22 Jun lalu bagi mencabar Tuanku Muhammad Faris Petra ketika menjadi Pemangku Raja sebagai Sultan Kelantan yang baru. Sementara itu, Param berkata, Mahkamah Persekutuan menetapkan 25 Oktober depan untuk mendengar hujahan daripada peguam kedua-dua pihak bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengendalikan kes berkenaan. Kita berharap panel penuh hakim di Mahkamah Persekutuan akan membincangkan isu berkenaan yang mungkin memberi impak kepada negeri lain yang mempunyai Sultan. Seluruh isu ini juga akan menjadi ujian kepada sistem kehakiman, katanya.


Sumber: BH
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai