Friday, March 7, 2008

Siapa Ibu Soko?

Ini jawapan untuk AMG perihal Ibu Soko:

Pepatah `biar mati anak, jangan mati adat' cukup sinonim dengan budaya masyarakat pengamal adat Perpatih di Negeri Sembilan. Malah adat yang datang ke negeri ini sejak abad ke-15 dari Minangkabau secara bergelombang, mula terasa bahang empayarnya selepas abad ke-17.
Penghijrah Minangkabau yang pada awalnya memilih untuk menetap di kawasan pedalaman berikutan suasana alam yang sama di Negeri Sembilan, turut melabuhkan noktah di situ selepas cuba bersembunyi daripada serangan lanun pantai.


Selepas itu, dengan termeterainya satu perjanjian bersama atau loghat Negeri Sembilan - pepauh antara Datuk Perpatih Pinang Nan Sebatang dengan Datuk Ketemenggongan, maka satu perdamaian tercetus di mana kawasan laut diserahkan kepada Datuk Ketemenggongan, manakala kawasan darat dipunyai oleh Datuk Perpatih.

Maka sehingga hari ini, suasana itu terbukti apabila daerah Port Dickson bukan merupakan pengamal adat Perpatih, sementara daerah seperti Rembau, Jelebu dan Kuala Pilah dinobat sebagai antara pengikut kuat kepada adat ini.

Sejauh mana masyarakat negara ini memahami tentang adat Perpatih? Adat Perpatih merupakan suatu peraturan hidup yang sistematik dengan berteraskan keharmonian hidup masyarakat yang diamalkan oleh orang Negeri Sembilan dan Naning di Melaka.

Sebagai satu cara hidup, adat Perpatih mempunyai peraturan asas yang tidak boleh diubah langsung. Perkara asas itu termasuklah hidup bersuku, mengira keturunan daripada nasab ibu, perwarisan tanah pusaka dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, sistem adat Perpatih terdapat sistem perut dan suku. `Perut' adalah unit terkecil di dalam sistem adat Perpatih dan beberapa `Perut' lain akan membentuk `Suku'. Tiap-tiap `Perut' akan diikuti seorang `Buapak', sementara setiap `Suku' diketuai oleh seorang `Lembaga'.

Selain itu dalam sistem politik adat Perpatih terdapat juga jawatan Undang yang menerajui Luak. Satu lagi keunikan ialah kehebatan sistem harta pusaka di mana barang peninggalan itu dianggap pusaka seperti rumah, tanah, barang kemas dan lain-lain yang hanya boleh diwarisi oleh anak perempuan sahaja.

Bila bercakap tentang Adat Perpatih, kita tidak dapat lari daripada berbicara perihal Datuk Lembaga, Buapak, Besar Waris, Ibu Soko. Ibu Soko adalah ibu-ibu waris yang berkuasa menentukan pemerintah di setiap negeri, wilayah, kawasan yang berkenaan. Di mana-mana wilayah adat perpatih, kuasa memerintah diberikan kepada lelaki, tetapi kuasa memilih pemerintah itu adalah kuasa ibu-ibu soko tadi. Dan kuasa mereka hanya setakat itu. Sebagai isteri, mereka tetap wajib patuh kepada suami.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 suku di mana sembilan datang dari Minangkabau iaitu Paya Kumbuh, Seri Lemak, Mungkal, Tanah Datar, Batu Belang, Tiga Batu, Tiga Nenek, Seri Melenggeng dan Batu Hampar, sementara selebihnya satu dari Anak Acheh dan dua lagi dari Anak Melaka.

Ruj : Utusan Malaysia, 4 Mei 2001 & annyss.blogspot.com

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai