Tuesday, November 11, 2008

Hang Li Po

Hang Li Po ialah salah seorang permaisuri kepada Sultan Mansur Shah (Sultan Melaka, 1456 - 1477). Walaupun kita menerima hakikat bahawa beliau merupakan puteri kepada Maharaja Yong Le, maharaja Dinasti Ming di China, namun tidak terdapat sebarang rujukan (di dalam sejarah Istana China) bahawa beliau adalah puteri dalam Dinasti tersebut.

Sesetengah catatan sejarah (Ming Chronicles), bahawa 'Su-tan Wang-Su-Sha' (Sultan Mansur Shah) telah mengirimkan rombongan ke China dan Maharaja T'ien-shun (1457-1464) yang menabalkan baginda sebagai sultan pada 1459 (bukan Maharaja Yong Le). Di dalam buku 'Sejarah Melayu', karya Tun Seri Lanang, hanya dicatatkan 'Raja Cina' (tiada nama khusus).

Apabila Sultan Mansur Shah hendak menjalin hubungan diplomatik dengan China, baginda menghantar Tun Perpatih Putih sebagai utusannya, dengan sepucuk surat untuk Maharaja China. Tun Perpatih berjaya menarik hati Maharaja tersebut dengan kemasyhuran dan kegemilangan Kesultanan Melaka sehingga Maharaja menghadiahkan puterinya, Li Po (dikenali juga sebagai Hang Liu), untuk dijadikan isteri Sultan.

Ada kemungkinan Li Po hanyalah anak perempuan salah seorang pegawai Istana China. Menurut sejarawan Cina, ini untuk memberikan imej yang tinggi kepada sultan kerana kesudian Maharaja itu memberikan puterinya. Mereka berpendapat, Maharaja China yang konservatif berkemungkinan besar tidak akan memberikan puterinya kepada seorang pemerintah di tempat yang jauh.

Sebagai contoh, orang Tibet menyangka raja mereka, King Sonten Gampo 'memaksa' Maharaja China menghadiahkan puterinya semata-mata untuk mewujudkan keamanan antara kedua negara. Cerita dari pihak China pula mengatakan bahawa 'puteri' yang dikatakan itu cuma seorang dayang di istana (diplomatic trick). Jadi, tidak mustahil sekiranya helah yang sama digunakan terhadap Sultan Mansur Shah. Ia juga mungkin sebagai tipudaya dalam usaha untuk menghalang Raja-Raja Siam menyerang wilayah takluk Melaka. Siam tentu tidak berani kerana Sultan Melaka ketika itu adalah menantu Maharaja China yang memiliki empayar luas!

Namun begitu, semuanya adalah spekulasi semata-mata. Tiada rekod (dalam Sejarah Dinasti) yang boleh dirujuk bagi mengiyakan atau menidakkan kenyataan ini.

Li Po datang ke Melaka bersama-sama 500 orang pengiring perempuan dan selepas memeluk agama Islam, berkahwin dengan Sultan Mansur Shah. Selepas perkahwinan mereka, Sultan Mansur Shah membina sebuah istana untuk Li Po, dengan pengiring-pengiringnya diberikan tempat tinggal yang tetap di Bukit Cina. Pengiring-pengiring Li Po kemudian berkahwin dengan pegawai-pegawai Sultan Mansur Shah. Dari sinilah berkembangnya golongan ‘baba’ dan ‘nyonya’. Li Po kemudian dikenali sebagai Hang Li Po selepas dianugerahkan dengan gelaran "Hang" oleh Sultan Mansur Shah.

Perkahwinan Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Paduka Mimat. Ada sejarah mengatakan Paduka Mimat telah meninggal dunia dalam satu kejadian amuk di pekan. Ada pula catatan bahawa Paduka Mimat mempunyai putera, Paduka Ahmad iaitu ayahanda kepada Paduka Isap. Ada pula pandangan bahawa generasi berikutnya mempunyai kaitan rapat dengan golongan kerabat Diraja Selangor.

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai