Showing posts with label Kesultanan. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan. Show all posts

Tuesday, September 21, 2010

KITA DAH CAKAP DAH... Rasakan!

IMBASAN 1511

J. Kennedy di dalam buku A HISTORY OF MALAYA menyatakan bahawa rakyat Melaka tidak bersatu padu dari segi politik ketika Portugis datang menyerang. Faktor ini disebabkan oleh percanggahan pendapat tentang perlantikan Tun Mutahir sebagai bendahara (seakan-akan Menteri Besar atau Perdana Menteri). “Bagi Portugis, ia bukanlah kemenangan yang mudah,” tulis Kennedy. “Dari segi bilangan, mereka tidak ramai. Rakyat Melaka menggunakan pelbagai senjata seperti senapang, panah dan sumpit beracun.

“Walaupun begitu, pihak Portugis mempunyai advantaj. Strategi mereka dibantu oleh deskripsi peta Melaka yang diberikan oleh salah seorang anak kapal yang dipenjarakan itu. Dia menghantar maklumat tersebut melalui seorang pedagang yang berpaling tadah.”

Menurut Kennedy, kebanyakan pedagang di Melaka ketika itu hanya berdiam diri dan bersedia untuk menyokong pihak yang tidak merampas harta benda mereka dan memastikan kebajikan mereka dijaga. Mereka ini termasuklah pedagang luar......

Thursday, July 8, 2010

Siapa Sultan di mata Jepun?


Dasar Politik Tentera Jepun

Pentadbiran tentera Jepun tidak melucutkan kedudukan raja-raja Melayu tetapi raja-raja Melayu tidak lagi menjadi pemerintah negeri masing-masing. Sebaliknya, mereka hanya menjadi ketua agama Islam dan adat Melayu sahaja. Kedaulatan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu terancam apabila Jepun menyerahkan negeri-negeri tersebut kepada Siam (Thailand). Istiadat yang sering diadakan di dalam istana tidak diadakan sepanjang pendudukan itu.

DYMM Paduka Seri Sultan Idris Iskandar Shah II (Sultan Perak ke-30, 1963-84)
Baginda telah melanjutkan pelajaran ke Kolej Melayu, Kuala Kangsar awal bulan Disember, 1938. Pada akhir tahun 1941, semasa Jepun datang menyerang dan mengalahkan Malaya, pelajaran Baginda dalam Senior Cambridge di Maktab Melayu itu telah terganggu. Di zaman pendudukan Jepun, Baginda turut menceburkan diri dalam pasukan Giyutai, iaitu pasukan pertahanan yang ditaja oleh Jepun.

Melalui pasukan inilah Baginda telah mengumpul dan menggerakkan pemuda-pemuda Melayu supaya pandai menggunakan senjata api dan mempelajari teknik peperangan gerila, dengan bertopengkan pasukan Giyutai. Baginda dan beberapa orang pemuda Melayu yang lain telah membuat hubungan sulit dengan pasukan gerila yang dikenali sebagai Force 136, di bawah pimpinan Kolonel Dobree untuk menentang Tentera Jepun.

Tunku Abdul Rahman Al-Haj
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun), sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang Sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan.

Berpakaian Tentera Utara Australia,
Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama Syed Abu Bakar al Idrus (Merinyu Kesihatan Kedah) dan menyembunyikannya di Sedim (dekat Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab). Tunku Badlishah (Pemangku Raja Kedah) tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.

Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun
mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid mangkat pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.

Sunday, January 17, 2010

ISTIMEWANYA NOBAT

Di Tanah Melayu, selain dari Melaka yang menggunakan Nobat pada zaman kesultanannya, negeri lain yang mempunyai alat muzik Nobat ialah Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu. Nobat Kedah dan Perak merupakan dua Nobat yang paling tua dan dapat disusuli kedua-dua Nobat ini hingga keempat kurun yang lampau.

Sejarah kedatangan Nobat ke negeri Kedah jika mengikut sejarah yang ditulis dalam tahun 1650, menyatakan bahawa Sultan Kedah telah pergi ke Melaka dalam masa pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Jika fakta tepat, ini membuktikan dengan jelas bahawa Kedah telah mengambil unsur-unsur Nobat yang diwarisi dari Melaka yang mana sebelum ini Melaka telah mewarisinya dari Pasai.

Nobat Selangor serupa dengan Perak dari segi peralatan dan ragam. Pemuzik Nobat adalah terdiri daripada orang kalur Perak. Mereka mempunyai kepercayaan dan adat serta pantang larang yang akan membawa kesan kepada muzik nobat itu sendiri.

Seratus tahun kemudian, semua 16 lagu masih dimainkan oleh Nobat, seperti yang tercatat di dalam Adat Lembaga Orang-orang Melayu di dalam Negeri Perak Darul Ridzuan. Walau bagaimanapun, tajuk ragam (lagu) telah diubah dan ejaan diperbetulkan.

Dalam Misa Melayu, terdapat lapan lagu Nobat Perak yang dikatakan “terbit dari laut”:
1. Gendang Berangkat
2. Arak Antelas
3. Kubang Si Kumali

4. Rama-Rama Terbang Tinggi
5. Arak-Arakan Panjang
6. Arak-Arakan Pandak (Pendek?)
7. Dang Gidang
8. Puteri Mandi Mayang

Lagu-lagu berikut ditambah kemudiannya oleh Kesultanan Perak:

9. Juang Beralih
10. Lenggang Encik Kobat
11. Gendang Perang
12. Anak Raja Basuh Kaki
13. Tabal
14. Nobat Khamis
15. Nobat Subuh
16. Nobat Isya

Monday, January 4, 2010

Bunga Emas Tanda Ketuanan?

Negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis ada kaitan dari segi sejarah dengan Negara Siam. Negeri-negeri ini pernah dikatakan menghantar Bunga Emas kepada negeri Siam, walaupun pengaruh Siam tidak begitu kuat. Setelah British campur tangan di negeri-negeri Melayu, ada pedagang-pedagang yang berminat terhadap negeri-negeri Melayu Utara.

Pada mulanya pihak British ingin mengekalkan negeri Siam sebagai negeri perantaraan dengan Burma, dan kuasa-kuasa Barat lain seperti Perancis. British telah mengiktirafkan pengaruh Siam ke atas negeri-negeri Melayu Utara. Sungguhpun ini tidak disukai oleh negeri-negeri Melayu tersebut, British telah menandatangani beberapa perjanjian sulit dengan Siam bagi menentukan nasib dan masa depan negeri-negeri Melayu berkenaan kecuali Johor.

Sultan-sultan negeri-negeri Melayu berkenaan tidak bersetuju dengan syarat-syarat Perjanjian Bangkok tahun 1909. Namun, British telah melantik penasihatnya di setiap negeri terlibat.
Sementara itu Johor masih bebas daripada naungan British sehingga tahun 1914 apabila Johor juga terpaksa menerima penasihat Britsh.

Keengganan sultan-sultan negeri berkenaan menyertai Persekutan yang ditubuhkan pada tahun 1896, menyebabkan wujudnya Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Menjelang akhir kurun ke-19, terdapat dua jenis pentadbiran British di Tanah Melayu iaitu:
1. Negeri-negeri Selat (P.Pinang, Singapura dan Melaka)

2. Negeri-negeri Melayu Bersekutu ( Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang)

Negeri-negeri Melayu Utara yang terdiri daripada Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pula dikaitkan dengan Siam yang menganggap negeri-negeri itu di bawah kekuasaannya. Bagaimanapun Siam tidak menguasai negeri-negeri itu. Malah negeri-negeri itu beranggapan "Hubungan itu adalah semata-mata satu pengakuan mengikut adat mengenai ketuanan luar negeri."

Negeri-negeri Melayu Utara menghantar Bunga Emas setiap tiga tahun sekali ke Siam sebagai tanda ketuanan. Bunga emas merupakan pohon yang diperbuat daripada emas dan batangnya daripada perak. Bagaimanapun nilainya tidak tetap bergantung kepada kemakmuran setiap negeri. Kedah misalnya pernah menghantar Bunga Emas bernilai $5000.00 dan Bunga Emas Kelantan pernah bernilai $11,000.00. Johor merupakan satu-satunya negeri di Tanah Melayu yang berjaya mengelakkan campur tangan kuasa asing dan diperintah oleh Sultan yang merdeka.

Friday, December 11, 2009

SYAIR NASIHAT

SYAIR NASIHAT KEPADA SEMUA KETURUNANNYA

Ayuhai segala anak cucunya
Hendaklah ingat datuk neneknya
Serta fikirkan fiil lakunya
Hendaklah diikut sembarang dapatnya

Janganlah malah ziarah kuburnya
Tiap-tiap Jumaat atau bulannya
Jika jauh akan tempatnya
Setahun sekali jika mudahnya

Jika sungguh upu nenek moyangmu
Fatihah kan dia jangannya jemu
Serta kenduri dan jamu
Barang yang dapat atas usahamu

Sebagai lagi nasihat nenda
Kepada segala sanak saudara
Serta kepada anak cucunda
Salasilah ini hendaklah ada

Tiap-tiap seorang menaruh sendiri
Tidaklah hilang bangsanya sendiri
Supaya tidak susah hendak mencari
Asal-usul kita demikian peri

Raja Ali Haji (Pengarang Tuhfat Al-Nahfis)

Thursday, December 10, 2009

DIRGAHAYU

Kumpulan Rajamenangis dengan ini merafak sembah tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor, sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-64; yang jatuh pada 11 Disember 2009.

Ampun Tuanku, semoga Tuanku dilanjutkan usia dan Selangor terus kekal sebagai sebuah negeri berdaulat dan dilimpahi rahmat Ilahi. Kebijaksanaan, keadilan dan kedaulatan Tuanku Sultan Selangor kekal di sanubari anak-anak Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya.
DAULAT TUANKU !!

Monday, December 7, 2009

Siapa orang Melayu Funan?

Pengasas kerajaan Funan bernama Raja Kaundinya banyak disebut dalam Hikayat Demang Lebar Daun (Annals of the Willow Tree) yang mempunyai kaitan dengan Kataha. Tokoh sejarah ini dianggap wira yang berperanan sebagai pengasas tamadun Indocina dalam kurun 1 Masihi.

Sepertimana orang-orang Yunani, orang Melayu Funan mengagungkan kerabat orang-orang berjasa seperti Kaundinya. Kaundinya dikatakan mempunyai kelebihan ilmu merancang bandar kerana rombongan yang dibawanya termasuk ahli bijak pandai yang berupa membina empangan air untuk pertanian serta mengusaha projek-projek awam yang lain termasuk ketenteraan.
Sebagaimana diriwayatkan oleh Hikayat Merong Mahawangsa, Raja Kaundinya mengepalai ekspedisi yang amat kuat:

"....tahap pembukaan negeri perlu diperhatikan dahulu. Tahap ini seringkali digambarkan sebagai sekumpulan orang yang berpindah-randah ... memakan masa yang lama ... contohnya dalam Hikayat Merong Mahawangsa ... selama 200 hari, kumpulan ini dipimpin oleh seorang raja atau keturunannya diikuti menteri, penggawa, hulubalang, rakyat dan bala tentera. Pada umumnya ia berhenti di beberapa tempat di mana orang bermain dan orang lelaki berburu."

Untuk perdagangan dengan Langkasuka dan lain, pelabuhan Oc Eo ditubuhkan. Kejayaan projek-projek Kaundinya mendapat sambutan dan dengan itu kerajaan Funan menjadi makmur dan kuat. Kejayaan ini dikisah sebagai teori pengasas Funan, Teori Kaundinya.

Teori ini sebenarnya bergantung kepada ilmu perancang bandar. Tamadun yang lebih awal mempunyai tatacara memilih pegawai yang berkaliber, mengusahakan tenaga kerja efisien serta cekap mengutip hasil dan cukai untuk pembangunan awam. Tatacara ini dikumpul dan diperbaiki mengikut pengalaman. Penulisan tatacara yang paling lengkap diusahakan oleh Kautilya pada masa Raja Chandragupta.

Budaya, agama dan bahasa adalah berkait rapat. Disebabkan bahasa tamadun di sekitar Indo-Pakistan adalah Vedas dan Sanskrit, makan tidak dinafikan bahawa panduan perantaran sistem pemerintahan awal negara kota Melayu (pura) banyak mempunyai ciri-ciri yang sama. Contoh kesimpulan simplistik mengenai orang-orang Melayu adalah seperti berikut:

" ... the early Malays ... belong to an older scheme of things ... Hindu organization for government, war, court ceremonial, elephant riding, trade, commerce and the rest ..." Ianya dikatakan simplistik kerana bahasa dan budaya pengucapan umum rakyat jelata adalah Melayu, dan hanya golongan cerdik pandai kerajaan (aristokrasi) sahaja yang dipercayai mahir menggunakan bahasa Sanskrit.

Prosiding Seminar Antarabangsa Pemandiran Budaya Tamadun Timur Laut
Anjuran Pusat Warisan Seni Melayu & UiTM.

Monday, November 9, 2009

Bilakah Melaka dan Penang masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu?

Soalan:

Bilakah Melaka dan Penang masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu?
Jawapan: 1946


Apabila Tanah Melayu telah dekat menghampiri Merdeka (1957), adakah negeri Melaka dan Pulau Pinang INGIN masuk ke dalam Persekutuan Tanah Melayu 1957?
Jawapan: Tidak pada mulanya, kedua-dua negeri pada awal TIDAK mahu masuk kedalam Persekutuan!!

Terlalu banyak penyelidikan yang telah dibuat disini. Sesiapa yang mempunyai bahan yang menarik di kongsi, sila emel kepada kami.
------------------------------------------------------------------------

Bukankah selama 450 tahun, Melaka adalah sebahagian daripada "Tanah Melayu". Benar, dari segi darah tanah, dari segi alam Melayu, dari segi Kesultanan Melayu dan sejarah lama, Melaka memanglah tidak boleh tidak 'Tanah Melayu", tetapi dari segi undang-undang Inggeris dan Perlembagaan, Melaka (dan Penang) hanya masuk dalam tahun 1946.

Sepintas lalu:
Pada tarikh 23.12.1946, Perjanjian Persekutuan yang kemudiannya dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, telah diumumkan oleh Kerajaan British. Perjanjian itu penting bukan sahaja kerana ia memansuhkan Malayan Union tetapi juga menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali (setiap negeri bernaung dibawah "diri sendiri" dan dibawah FMS atau UFMS).

Perjanjian Persekutuan telah digubal oleh Sidang Pleno Inggeris-Melayu sejak bulan Jun hingga awal bulan Disember 1946. Di akhir mesyuaratnya Sidang Pleno telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.Setelah mendapat persetujuan Raja Inggeris maka pada hari itu dalam tahun 1946, Perjanjian Persekutuan itu telah diumumkan dan diedarkan kepada penduduk-penduduk Tanah Melayu, terutama sekali untuk orang-orang bukan Melayu. Tujuan pengumuman ini ialah untuk mendapatkan pandangan orang-orang bukan Melayu yang tidak diwakili dalam Sidang Pleno itu.Di antara lain Perjanjian Persekutuan menyatakan:

1) Persekutuan Tanah Melayu akan dianggotai oleh sembilan buah negeri-negeri Melayu dan dua buah Negeri-negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Untuk kepentingan politik dan keselamatan, Singapura telah dikeluarkan dari Persekutuan Tanah Melayu dan dijanjikan sebuah Koloni Inggeris.

2) Perkara yang tidak kurang pentingnya terkandung dalam dokumen itu ialah pembukaan Dewan Perundangan Persekutuan yang akan diwakili oleh semua kaum di Persekutuan Tanah Melayu. Dewan Perundangan Negeri akan mengikut peraturan yang serupa dengan Dewan Perundangan Persekutuan.

3) Mengenai kewarganegaraan, Perjanjian Persekutuan memberi dasar yang longgar. Di antara lain orang-orang yang mengaku Tanah Melayu sebagai tanahairnya akan diberi kewarganegaraan dengan beberapa syarat tertentu.

JOM BAHAS DAN KAJI !
EMEL KEPADA KAMI.

Saturday, October 31, 2009

Kedatangan Minangkabau ke N.Sembilan

Maksud Nagari dalam Minangkabau : satu penempatan sebelum menjadi Nagari mesti melalui satu proses Metamorsis.
Taratak mula dibuek

sudah taratak menjadi kampuang

sudah kampuang menjadi dusun

sudah dusun menjadi koto
sudah koto menjadi nagari ...


Semasa Kesultanan Melaka, penduduk Rembau merupakan Jakun di bawah pimpinan Batin Tok Pak Tinggam. Nama lama Rembau adalah Prabu. Abad ke 16 Rembau di bawah pimpinan Batin Sekudai. Masa ini masih jajahan Melaka dan Tun Jenal menjadi wakil Melaka dengan gelaran Tun Rembau diam di Lubok Cina.

Nama asal Rembau bermula daripada sebatang pokok Merbau Tua yang besar menaungi hampir 10 buah kampung. Masa untuk menebang pokok mengambil masa hampir 1 bulan. Tapak pokok boleh dihidang hampir 12 dulang. Ini bukan dongeng kerana semasa penduduk kawasan membajak, masih terdapat batang pokok yang tidak hancur. Kapak yang digunakan untuk menebang pokok masih ada.

Masa inilah keluarga Jakun yang ingin membuka kampung disuruh meniti sepanjang pokok; tiba di hujung bolehlah dibuat perkampungan. Sampailah di Sg Ujung.
Orang Minangkabau yang pertama datang ke Negeri Sembilan iatu Rembau adalah Datuk Leteh. Datuk Leteh dan org Minangkabau telah hidup harmoni bersama orang Jakun sehinggakan Batin Sekudai menyerahkan anaknya Datuk Bungkal sebagai anak angkat Datuk Leteh.

Orang Minangkabau yang kedua datang ke Rembau adalah Datuk Lela Bangsa dari suku Batu Hampar menetap di Penajis. Beliau dikahwin dengan Datuk Bungkal dapat anak lelaki Seri Rama (Penghulu Rembau yang Pertama). Kedatangan beliau diikuti oleh Datuk Laut Dalam dari suku Paya Kumbuh menetap di Legung. Dalam tahun 1540 Datuk Lela Balang dan Datuk Laut Dalam telah pergi mengadap Sultan Alauddin Riayat Shah untuk menyatakan hasrat orang Minangkabau melantik penghulu.

Permohonan ini telah di persetujui oleh Sultan dan Seri Rama menjadi Penghulu yang pertama dengan gelaran Datuk Lela Maharaja (Suku Biduanda Jakun). Oleh sebab beliau msh kecil diwakilkan oleh Datuk Lela Balang dengan gelaran Datuk Gempa Maharaja. Apabila Datuk Laut Dalam tak setuju beliau pun mengadap sultan dan meminta keturunannya juga layak untuk menjadi Penghulu dengan syarat dikahwinkan Seri Rama dengan anak Datuk Laut Dalam dan anak lelaki yang pertama akan menjadi penghulu dengan gelaran Datuk Sedia Raja (Biduanda Jawa). Datuk Lauta Dalam telah digelar Datuk Merbangsa.


Sumber : http://halaqah.net

Wednesday, October 28, 2009

RAJAMENANGIS DI MAJLIS PERTABALAN DYMM YANG DIPERTUAN BESAR

Rajamenangis hadir di Majlis pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11, DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

KUMPULAN RAJAMENANGIS memanjatkan rasa syukur kehadharat Allah swt, kerana dengan limpah kurniaNya, kebawah DYMM Tuanku YDP Besar telah sudi perkenan menjemput patik patik ke Majlis Pertabalan baginda di Istana Besar Sri Menanti pada tanggal 26 hb Oktober 2009 yang sungguh bersejarah. Rajamenangis telah sempat menyaksikan setiap acara adat istiadat di Dewan Balairong Seri yang gilang gemilang. Patik patik mengucapkan selamat sejahtera dan sembah takzim kepada DYMM Tuanku sekeluarga, semoga Tuanku sekeluarga di panjangkan umur, di berikan taufik dan hidayah untuk memerintah Negeri Sembilan dan daerah jajahannya dengan adil dan saksama dan semoga DYMM Tuanku sentiasa bersyukur kepada nikmat dan kurnia Allah swt dan mengenangkan kisah rakyat jelata DYMM Tuanku. Kenangan majlis pertabalan tersebut tidak mungkin patik lupa dan akan sentiasa di kenang sepanjang hayat.

Sunday, October 25, 2009

Keturunan DYMM Tuanku Muhriz tiada putus dari Raja Lenggang





DYMM Tuanku Muhriz Keturunan Raja Lenggang

KUALA PILAH, NEGORI -- Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang akan ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada Isnin merupakan keturunan langsung daripada salasilah lebih 200 tahun keturunan Raja Lenggang dan juga Raja Alam Pagaruyung, Sumatera (LIHAT VIDEO DIBAWAH).

Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Jan 1948. Baginda merupakan satu- satunya anak lelaki Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Ampuan Durah Tuanku Besar Burhanuddin.

Baginda dilantik sebagai Tunku Laksamana (kedudukan kedua di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1960, dan setahun kemudian, baginda ditabalkan sebagai Tunku Besar Seri Menanti (kedudukan tertinggi di antara Putera Yang Empat), gelaran yang disandang selama 47 tahun.

Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan mendapat ijazah LLB pada tahun 1970.

MINAT
  • Muzik
  • Sukan skuasy
  • Bolasepak kelab Arsenal
  • Tenis Grand Slam.

RAJAMENANGIS turut gembira bersama rakyat Negeri Sembilan di hari dan ketika ini, dimana DYMM Tuanku, dengan izin Allah swt jua, sempurna di pertabalkan sebagai DYMM YDP Negeri Sembilan yang ke -11. Semoga DYMM Tuanku memerintah dengan cemerlang, dan Allah swt permudahkan pentadbiran negeri ini ke bawah kebijaksanaan DYMM Tuanku dan Kerajaan Negeri. Semoga DYMM sekeluarga di limpahkan rahmat dan diberikan taufik dan hadayah, serta dipanjangkan usia. DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU!


(ISTANA PAGAR RUYUNG, SUMATERA)

Wednesday, October 21, 2009

VIDEO PERTABALAN YANG DIPERTUAN BESAR ZAMAN HITAM-PUTEH



INI ADALAH VIDEO RESMI AWAL YANG DIREKODKAN MASA ZAMAN MALAYA DAHULU. JELAS ACARA INI AKAN BERULANG MINGGU HADAPAN DI SERI MENANTI. SEMOGA MENDAPAT ILMU SEDIKIT SEBANYAK. ENJOY!

Tuesday, October 20, 2009

PENGUMUMAN KHAS ISTIADAT PERTABALAN YANG DI-PERTUAN BESAR NS

Dengan ini Kumpulan Rajamenangis merafak Sembah Takzim serta setinggi-tinggi tahniah kepada kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Yang Ke Sebelas. Tahniah juga kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan sempena Istiadat Pertabalan yang akan berlangsung pada 26 Oktober 2009 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti. Turut diadakan, jamuan untuk rakyat di khemah-khemah khas yang didirikan.

Untuk Program Sepenuhnya, sila klik sini.

Maklumat-Maklumat Istiadat Pertabalan

1. Program-Program Sempena Bulan Pertabalan
2. Aturcara Pentadbiran Istiadat Bersiram
3. Aturcara Pentadbiran Santapan Tengah Hari Selepas Istiadat Bersiram
4. Aturcara Pentadbiran Istiadat Pertabalan
5. Aturcara Pentadbiran Santapan DiRaja
6. Pelan Tempat Duduk di Dewan Bankuet

RUJUKAN PROSES ISTIADAT YANG LENGKAP DIBAWA KHAS OLEH RAJAMENANGIS

(Gunakan Ctrl-Scroll up - untuk membesarkan Font)

PERTABALAN YANG DIPERTUAN BESAR PENUH ISTIADAT RAJA DI SRI MENANTI NEGERI SEMBILAN

BERMULA: 22 Oktober 2009

Negeri Sembilan bakal menyaksikan pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, yang akan berlangsung penuh istiadat di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti pada 26 Okt. Istiadat pertabalan ini akan berlangsung di Bandar Diraja Seri Menanti dari 22 hingga 28 Okt 2009, menurut Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz.

Istiadat ini bakal mengulangi sejarah lebih 40 tahun lalu, upacara pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10 Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada 18 April 1967. Istiadat pertabalan pada 26 Okt ini merupakan istiadat kemuncak selepas hampir setahun bermula dengan pemasyhuran Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 pada 29 Dis 2008 berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar dua hari sebelumnya. Proses pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan merupakan suatu yang unik kerana dilakukan oleh Undang Yang Empat -- Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau -- setelah dilantik daripada putera-putera yang layak dicalonkan.

BERMULA

Tuanku Muhriz berkata istiadat pertabalan dimulakan dengan istiadat mengeluarkan dan memasang alat-alat kebesaran di halaman Istana Besar Seri Menanti pada 22 Okt oleh Pegawai 99 yang diketuai Datuk Seri Amar Diraja. Alat-alat kebesaran ini terdiri daripada lapan kaki payung kuning, lapan bilah tombak berambu, lapan bilah keris panjang, lapan bilah pedang panjang dan lapan tonggol kuning, hitam dan merah.
Alat-alat ini akan kekal terpasang di halaman Istana selama tujuh hari sehingga istiadat menyimpan dilakukan pada 28 Okt. Ini akan diikuti dengan tembakan dua das meriam. Istiadat seterusnya ialah istiadat bersiram pada 25 Okt melibatkan Tuanku Muhriz dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku BEsar Mahmud. Baginda berdua akan bersemayam di atas Takhta Rencana dan diarak dari Istana Besar Seri Menanti ke Panca Persada, disusuli dengan lapan das tembakan meriam. Orang Empat Istana akan menyempurnakan istiadat bersiram dengan menyembahkan bedak limau setelah mengelilingi baginda berdua sebanyak 7 kali. Baginda berdua akan bersemayam semula di atas Takhta Rencana dan diarak kembali ke Istana Besar Seri Menanti dengan disusuli lapan das tembakan meriam lagi.

KELANGSUNGAN

Istiadat pertabalan akan berlangsung pada 26 Okt di Balairong Seri Istana Besar Seri Menanti. Istiadat itu bermula dengan ketibaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan Tunku Besar Tampin di sebelah pagi di perkarangan Istana. Setelah bermalam di rumah telapak (rumah persinggahan) masing-masing, Undang Yang Empat akan berehat di balai-balai sementara yang disediakan khas di luar perkarangan Istana Besar Seri Menanti sebelum berjalan kaki memasuki perkarangan Istana Besar Seri Menanti diiringi oleh Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. Lima belas das tembakan meriam akan dilepaskan. Undang Luak Sungai Ujong akan berjalan dari Balai Melintang, Undang Luak Jelebu dari Balai Serong, Undang Luak Johol dari Balai Bertingkat manakala Undang Luak Rembau dari Balai Panjang.

Pada ketika ini jemputan lain akan tiba di Istana termasuk Raja Muda atau Tengku Mahkota yang mewakili Raja-Raja Melayu serta Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri.

BALAIRONG SERI

Setelah semua mengambil tempat masing-masing di perkarangan Istana Besar Seri Menanti, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diiringi oleh Orang Empat Istana akan berangkat memeriksa barisan kehormatan.
Para tetamu kemudian mengambil tempat di Balairong Seri. Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan kemudian berangkat bersemayam di atas singgahsana dengan diapit oleh Putera Yang Empat. Istiadat bermula apabila Datuk Bentara Kanan menghadap memohon perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan untuk memulakan istiadat dan kemudian meminta Datuk Undang Luak Sungai Ujong bagi pihak Undang Yang Empat, bangun mengisytiharkan bermulanya istiadat pertabalan.

Ini akan diikuti dengan teriakan "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku", "Daulat Tuanku. Datuk Bentara Kanan kemudian akan mengisytiharkan kepada hadirin bahawa pertabalan selesai dilakukan dan melafazkan Daulat Tuanku sebanyak tiga kali, diikuti oleh para hadirin.

Lagu kebesaran Negeri Sembilan dimainkan dan disusuli oleh tembakan meriam sebanyak 32 das.

Upacara seterusnya ialah istiadat menghadap dan menjunjung kasih Yang Dipertuan Besar yang dimulakan oleh Undang Yang Empat, diikuti Datuk Shahbandar Sungai Ujong, Penghulu Luak Tanah Mengandung dan Datuk Lembaga Tiang Balai masing-masing. Menteri Besar Negeri Sembilan kemudian akan menghadap menjunjung kasih serta melafazkan ucapan taat setia. Tuanku Muhriz kemudian melafazkan titah pertabalan dan diikuti bacaan doa oleh Mufti Kerajaan Negeri Sembilan. Akhirnya Datuk Seri Amar Diraja membuat aluan sembah dan memaklumkan bahawa istiadat pertabalan selesai disempurnakan.

SEBELUMNYA

Keunikan istiadat pertabalan di Negeri Sembilan ini melibatkan beberapa istiadat lain sebelumnya dan yang berlangsung di Istana-istana lain.

Antaranya istiadat menghadap Undang Yang Empat yang dilaksanakan oleh Orang Empat Istana manakala yang terpakai di Istana-istana lain ialah menyembahsilakan Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Brunei dan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Jemputan disempurnakan oleh rombongan Diraja diketuai oleh Tunku Besar Seri Menanti dan disertai Tunku Zain Al-Abidin Tuanku Muhriz, Tunku Alang Tunku Datuk Seri Iskandar, Tunku Panglima Besar Tunku Abdullah dan Tunku Imam Tunku Datuk Seri Mahmud Tunku Besar Burhanuddin, yang diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, anggota Exco dan Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.

Istiadat pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 ini merupakan satu daripada tiga istiadat bersejarah di Negeri Sembilan pada tahun ini. Istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud diadakan terlebih dahulu pada 14 April 2009. Sebelum itu diadakan istiadat pelantikan dan pertabalan Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz iaitu Putera Yang Empat terkanan, pada 22 Feb 2009, bagi menggantikan tempat ayahanda baginda.

KETURUNAN


Tuanku Muhriz merupakan keturunan langsung daripada salasilah lebih 200 tahun keturunan Raja Lenggang dan juga Raja Alam Pagaruyung, Sumatera. Tuanku Muhriz diputerakan pada 14 Jan 1948. Baginda merupakan satu- satunya anak lelaki Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dengan Tunku Ampuan Durah Tuanku Besar Burhanuddin. Baginda dilantik dan ditabalkan sebagai Tunku Laksamana (kedudukan kedua di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1960 dan Tunku Besar Seri Menanti (kedudukan tertinggi di antara Putera Yang Empat) pada tahun 1961. Baginda kekal memegang gelaran itu selama 47 tahun. Dibesarkan di Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Tuanku Muhammad Kuala Pilah dan Sekolah Tunku Besar Tampin serta Sekolah Menengah King George V, di Seremban. Tuanku Muhriz meneruskan pelajaran di Aldenhem School, United Kingdom ke peringkat O-Levels dan A-Leves. Baginda kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang di University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom dan dianugerahkan LLB pada tahun 1970.



IHSAN: Kerjasama Bernama 2009


Pulau Kontroversi Inggeris-Belanda?

Orang Melayu (dikenali sebagai Orang Selat atau Orang Laut) mula-mula mendiami Pulau Batam sejak tahun 231 M iaitu semasa Singapura disebut Pulau Ujung. Pulau itu merupakan salah satu pulau yang berada di antara perairan Selat Melaka dan Selat Singapura.

Pulau Batam merupakan sebuah pulau besar dan terdapat 329 pulau yang ada di wilayah Kota Batam. Satu-satunya sumber yang dengan jelas menyebutkan nama Batam adalah Perjanjian London (1824).
Pulau itu semakin menjadi tumpuan sejak zaman kerajaan Temasik (sekarang Singapura) di penghujung tahun 1300 atau awal abad ke-14.

Pada Zaman Kesultanan Melaka, Pulau Batam berada di bawah kekuasaan Laksamana Hang Tuah. Setelah Melaka jatuh,
kekuasaan atas kawasan Pulau Batam dipegang oleh Laksamana Hang Nadim yang diam di Bentan (sekarang Pulau Bintan). Ketika Hang Nadim meninggal dunia, pulau ini berada di bawah kekuasaan Sultan Johor sampai pada pertengahan abad ke 18. Dengan wujudnya kerajaan di Riau Lingga dan adanya Yang Dipertuan Muda Riau, maka Pulau Batam berserta pulau-pulau lainnya berada di bawah kekuasaan baginda, sampai berakhirnya kerajaan Melayu Riau pada 1911.

Pada abad ke-18, persaingan antara Inggeris dan Belanda amatlah hebat untuk menguasai perdagangan di perairan Selat Melaka. Singapura yang maju dengan pesat, menyebabkan Belanda berusaha dengan berbagai cara menguasai perdagangan di sana. Hal ini mengakibatkan banyak pedagang yang secara sembunyi-sembunyi menyusup ke Singapura.


Pulau Batam yang berdekatan Singapura, amat bermanfaat bagi pedagang-pedagang untuk berlindung daripada gangguan Belanda. Pada abad ke-18, Lord Minto dan Stamford Raffles dan kerajaan Inggeris melakukan ‘pertukaran’ dengan pemerintah Hindia Belanda sehingga Pulau Batam yang merupakan pulau kembar dengan Singapura diserahkan kepada pemerintah Belanda.


Hang Nadim Airport
Sumber Foto : mynetbiz.com

Sunday, October 18, 2009

Kesultanan Melaka wujudkan keharmonian kaum?

KEMUNCAK PLURALITI ALAM MELAYU: KESULTANAN MELAKA

Zaman Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman keemasan dan kemuncak keagungan kerajaan Melayu. Melaka diperintahkan oleh para sultan dan pembesar yang berpandangan jauh (visionary). Empayar Melaka merupakan tempat pertemuan para pedagang dari seluruh pelosok dunia sehingga digelar The Venice of The East.

Pelabuhannya begitu sibuk dengan ribuan kapal berulang-alik melalui Selat Melaka. Pemerintahan dijalankan dengan sikap penuh diplomasi dan terbuka. Para pegawai istana bukan sahaja terdiri daripada kalangan orang Melayu tempatan. Terdapat orang India yang dilantik menjawat jawatan dalam istana Sultan Melaka. Perkahwinan campur telah berlaku antara pemerintah Melaka dengan anak perempuan pemerintah negara China. Ringkasnya, pemerintah pada ketika itu telah mengambil kira keharmonian antara kaum.

Perdagangan di Melaka berjalan dengan begitu lancar hasil sistem pemerintahan terbuka (menerima sesiapa saja yang ingin berdagang) di samping pelabuhan ditadbir dengan cekap. Keselamatan laut daripada ancaman perompak dan lanun dapat dikawal oleh laksamana Melaka yang proaktif. Suasana selamat dan aman untuk pedagang. Keadaan ini disokong kuat oleh Undang-undang Laut Melaka yang berteraskan ajaran Islam.

Zaman Empayar Kesultanan Melayu Melaka merupakan zaman pluraliti kerana proses penghijrahan berlaku secara semula jadi tanpa ada pemaksaan daripada mana-mana pihak. Zaman ini bukanlah zaman negara bangsa sebagaimana yang diperkenalkan oleh British dan seterusnya mewujudkan masyarakat pluralistik yang nyata.

Para pedagang tidak perlukan pasport atau visa sebagai pengenalan diri. Keadaan ini membolehkan pedagang Arab, India, China berdagang secara sukarela. Mereka bergaul dengan penduduk tempatan dan menerima sistemnya dengan baik. Malah perkahwinan orang Cina dengan masyarakat tempatan mewujudkan kategori masyarakat yang tidak pernah wujud sebelumnya seperti Baba. Mereka terus menetap di Melaka sehingga ke hari ini.

Friday, October 16, 2009

Pertabalan Sultan Pontianak

PERTABALAN PANGERAN SYARIF ABDUL RAHMAN MENJADI SULTAN DI PONTIANAK

Syahadan setelah dipersetujui segala orang tua-tua, Raja Haji pun memulai bekerja serta menyediakan alat perkakas raja berlantik dan bertabal sebagaimana adat istiadat pihak sebelah Johor, demikianlah diperbuatnya melainkan bertambah sahaja adatnya Bugis seperti mengaruk-aruk. Setelah mustaid sekalian alat perkakas bertabal itu, maka pada ketika hari yang baik, maka Raja Haji pun mengumpulkan segala orang besar-besar dan raja-raja itu.

Maka Raja Haji pun memakailah dan memakaikan Pangeran Syarif Abdul Rahman itu dengan pakaian berlantik. Setelah selesailah, maka baharulah diturunkan ke balairung serta dengan jawatan semberabnya seperti pedang, keris panjang, puan, kipas dan ketur, serta orang perempuan membawa kain dukungnya enam belas orang, membawa dian berkelopak pun enam belas juga.

Kemudian baharulah dinaikkannya Pangeran Syarif Abdul Rahman itu di atas singgahsana kerajaan, kemudian berdirilah dua orang bentara pada kanan kirinya memegang tongkat berkepala emas. Syahadan apabila selesai bersaf-saf maka berdirilah Raja Haji di hadapan singgahsana kerajaan serta menghunus halamangnya berteriaklah ia dengan nyaring suaranya:

'Barang tahu kiranya segala raja-raja dan orang-orang besar bahawa sungguhnya kami mengangkat akan Pangeran Syarif Abdul Rahman ini menjadi raja di dalam negeri Pontianak dengan segala takluk daerahnya. Adalah bergelar Sultan Syarif Abdul Rahman Nur Alam Karar dan tetap di atas kerajaannya di dalam negeri ini turun atas anak cucunya." Syahadan maka menjawablah segala orang-orang itu, 'Daulat, bertambah-tambah daulat!'. Kemudian baharu dipukulkan nobat. Maka sekalian orang-orang pun menjunjung dulilah.

Foto : Istana Kadriyah I Maulana Syarif Abdurrahman (1771)
Sumber : Tuhfat Al-Nafis

Monday, October 12, 2009

Catatan kembara Ibnu Battuta di curi oleh Perancis?

Kebesaran Kerajaan Melayu bukan sahaja diakui dan diagungkan oleh bangsa Melayu semata-mata, malah seorang pengembara dari Arab, Ibnu Battuta. Didalam kitabnya, Tuhfat al-Nazhar beliau menyebut selama mengelilingi dunia hanya ada tujuh raja yang memiliki kelebihan luar biasa, iaitu Raja Iraq yang berbudi bahasa, Raja Hindustani sangat peramah, Raja Yaman berakhlak mulia, Raja Turki gagah perkasa, Raja Rom sangat pemaaf, Raja Turkistan bersifat tolak ansur dan Raja Melayu Malik Al-Zahir (Sumatra) yang berilmu pengetahuan luas dan mendalam.

Pengembaraannya bermula ketika usianya 21 tahun. Beliau meninggalkan Tanjah pada 14 Jun 1325. Pengembaraan beliau mengambil masa 38 tahun meliputi perjalanan sejauh 120,000 kilometer dan singgah di 44 negara. Beliau kembali semula ke Morocco semasa pemerintahan Sultan Abu 'Inan dan kisah pengembaraan beliau ditulis oleh Ibn Juza.

Kisah pengembaraan pertama bermula dari Tangier, Afrika Utara pada 13 Jun 1325 menuju Iskandariah sebelum ke Dimyath dan Kaherah. Selanjutnya Ibnu Battuta merentasi bumi Palastin menuju Damsyik dan ke Ladzikiyah, seterusnya ke Aleppo. Dalam perjalanan berkenaan, Ibnu Battuta terlihat satu kafilah sedang menuju ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji lalu beliau bergabung dengan rombongan itu. Beliau menetap di Makkah selama 2 tahun.

Ibnu Battuta meneruskan pengembaraannya ke Yaman melalui jalan laut dan melawat Aden, Mombosa, Timur Afrika dan Kulwa. Beliau kembali ke Oman dan balik semula ke Mekkah untuk menunaikan Haji pada tahun 1332 masihi, melaui Hormuz, Siraf, Bahrin dan Yamama.

Pada pusingan kedua, Ibnu Battuta ke Syam dan Laut Hitam, ke Bulgaria, Rom, Rusia, Turki serta pelabuhan Odesia dan menyusuri Sungai Danube. Kemudian belayar ke Semenanjung Crimea di mana beliau mengunjungi Rusia Selatan dan seterusnya ke India. Di India beliau menjadi kadi dan berkhidmat dengan keluarga seorang sultan.

Beliau mengembara hingga ke Sri Lanka, Indonesia dan Canton, Sumatera, Indonesia dan melalui laut Amman sebelum meneruskan perjalanan darat ke Iran, Iraq, Palestin dan Mesir. Beliau kembali ke Makkah untuk menunaikan Ibadah Haji yang ke tujuh (terakhir) pada November 1348.


Perjalanan ketiga bermula pada 753 Hijrah dimana beliau sampai ke Mali di tengah Afrika Barat sebelum ke Maghribi. Setiap kali mengunjungi sesebuah negara, Ibnu Battuta akan membuat catatan terperinci mengenai penduduk, pemerintah, ulamak serta kezaliman yang dilaksanakannya.

Tetapi malangnya, pencapaian Ibnu Battuta yang luar biasa itu tidak mendapat penghargaan sewajarnya apabila manuskrip catatannya dirampas dan di sembunyikan kerajaan Perancis yang menjajah kebanyakan negeri di benua Afrika.
Manuskrip catatan beliau dipercayai disimpan di Bibliotheque Nationale, Paris, menyebabkan bangsa Arab sendiri tidak dapat menghargai pencapaiannya sebagai seorang pelayar Islam yang agung.

MAKAM SULTAN PAHANG PERTAMA WUJUD



Ini adalah gambar yang menunjukkan makam Al Sultan pertama Negeri Pahang daripada keturunan kesultanan Melaka iaitu Sultan Muhammad Shah, salah seorang daripada putera Sultan Mansur Shah Melaka yang cukup terkenal yang telah diperintahkan pergi ke Pahang untuk memerintah lantas bagindalah menjadi Sultan Pahang yang Pertama. Jelas bahawa Sultan Pahang sejak itu menjadi waris dari keturunan kesultanan Melaka. ALFATIHAH

Sumber : www.melakainpicture.blogspot.com

Saturday, October 3, 2009

SEJARAH RINGKAS - KESULTANAN KELANTAN


Dalam abad ke 5 masihi, sejarahwan China Shenyao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu. Satu abad kemudian. setengah-setengah sejarahwan percaya bahawa kerajaan Srivijaya Pertama (Sri Vijaya Mala) telah wujud di Kelantan dan berkembang ke Malayu, Sumatera kira-kira pada akhir abad ke tujuh. Sri Maharaja Jayanagar telah membangunkan sebuah ibu kota di Palembang (Sri Vijaya Ke 2). Kelantan diserahkan kepada Puteranya, Sri Maharaja DiRaja. Kemudian Kedua-dua kerajaan ini disatukan oleh Sanjaya (Jaya Shinha) cucu Jayanagar dalam satu empayar yang disebut oleh orang Cina, San-Fo-Tse (Tanah Sri Indah Sekebun bunga), iaitu dalam abad ke lapan Masihi (Nik Mohamed, 1984).

Kelantan, dari semasa ke semasa, dikunjungi para pedagang dari jauh dan dekat; dari Kepulauan Melayu, Siam, Kemboja, Campa, China, India, Parsi dan Arab. Bukti bahawa Kelantan itu berkuasa luas dan menjadi pusat dagangan ialah wan dinar yang terjumpa di kawasan kota Kubang Labu. Pada dinar itu tertera kata-kata dan angka Arab; ” al Julus Kelantan 577″ dan di sebelahnya; “Al-Mutawakkil” bertarikh 577 ialah sanat hijriah yang bersamaan tahun 1181 Masihi. Dalam Abad 17 pula Ibnu Batuta Seorang Pengembara Arab telah singgah di satu tempat yang bernama “Kilu Krai” (Kuala Kerai di Ulu Kelantan sekarang) dan bertemu dengan seorang raja perempuan yang bernama Urduja (Saad Shukri 1971). Baginda rupawan gagah perkasa dan beragama islam. dikatakan juga baginda boleh bertutur dalam bahasa Turki.

Seorang penulis Cina Chau Juo-Kua, mengatakan negeri Chi-Lan-Tan pada tahun 1222 adalah dibawah takluk kerajaan Srivijaya. Kemudian Syair Jawa Kuno Nagarakertagama karangan Prapance dalam tahun 1365 menyatakan bahawa Kelantan pada masa ini adalah sebahagian daripada Empayar Majapahit yang berpusat di Jawa Timur. Dalam tahun 1411, Kelantan diperintah oleh seorang raja yang bergelar Maharaja Kumara yang pernah mengirimkan ufti dan persembahan kepada Maharaja Cina (Rentse, 1934). Sejarah Melayu menjelaskan bahawa dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah di melaka, Kelantan telah ditaklukkan dan tiga orang Puteri Sultan Mansur Shah (1467-1521) dibawa ke Melaka. Seorang Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud dan sebagai hasil perkongsian ini lahirlah Raja Muzaffar yang menjadi Sultan Perak yang pertama.

Kelantan dalam sejarah Semenanjung Tanah Melayu, merupakan kawasan yang unik kerana berperanan sebagai pusat bagibeberapa kerajaan Melayu lama dan kawasan pergolakan beberapa dinasti DiRaja yang berhubungkait dengan kerajaan-kerajaan sekitarnya seperti Ptani, Nakhon Si Thammarat, Siam, Kemboja, Champa di sebelah utara dan Terengganu, Pahang dan Johor di selatannya. Oleh yang demikian sebelum zaman Kelantan moden di bawah Long Yunus, Kelantan merupakan beberapa buah kawasan yang diperintah oleh beberapa dinasti DiRaja Melayu.

Bila Sultan Mansur Shah mangkat pada 1526 M (928H), maka putera baginda Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Gombak. Setelah baginda mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat baginda, iaitu Raja Ahmad ditabalkan menjadi sultan Kelantan pada 1684 M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad. Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda kedua telah di kurniakan seorang puteri dinamakan Cik Wan Kembang.

Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589 M, sewaktu puteri baignda Cik Wan Kembang berusia 4 tahun, oleh sebab itu Raja Hussain dari Johor dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintahan Kelantan. Bila Raja Hussain mangkat pada 1610 M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkan menjadi Raja Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan kira-kira 40 km kearah tengara Kuala Krai.

Pemerintahan Cik Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi mashur dan dikunjungi oleh ramai pedagang dari dalam dan luar negara, termasuk juga orang-orang Arab yang mengelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan “Paduka Cik Siti”. Baginda mempunyai seekor kijang yang amat disayangi oleh baginda, iaitu persembahan daripada rakyat baginda yang tinggal di Gunung Ayam. Gambar kijang ini telah diterapkan diatas wang emas dan kemudiannya diabadikan pula sebagai sebahagian daripada lambang Kebesaran Negeri Kelantan yang berkekalan hingga ke hari ini dengan megahnya. Dalam masa pemerintahan Cik Siti Wan Kembang memerintah di Gunung Titiwangsa, disebelah Timur Laut negeri Kelantan telah timbul sebuah lagi Kerajaan berpusat di Jembal, dibawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda Raja Loyar telah ditabalkan menjadi Raja pada 1649 M (1059H). Baginda di anugerahkan dengan dua orang cahayamata iaitu seorang putera, Raja Sakti (mangkat sejak kecil lagi) dan seorang puteri yang bernama Puteri Saadong.


Hubungan baik telah terjalin diantara kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyar di Jembal. Baginda Cik Siti Wan kembang telah mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta Kerajaan sepeninggalannya nanti, kerana baginda tidak mempunyai puteri atau putera sebab baginda tidak berkahwin.


Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam berhubungkait utusan untuk meminang Puteri Saadong tetapi ditolak. Kemudiannya Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan sepupunya Raja Abdullah Putera Raja Bahar Bendahara dengan tujuan untuk menyelamatkan pertalian DiRaja. Raja abdullah telah dirajakan di Kota Tengayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya berpindah ke Kota Jelasin dan Kota Mahligai. Oleh sebab mendapat tekanan yang hebat dari Maharaja Siam, maka Raja Abdullah mengizinkan Permaisurinya Puteri Saadong berangkat ke Siam, maka Raja Abdullah bertikam dengan pemacak sanggul Puteri Saadong.

Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim saudara Raja Abdullah menjadi sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi. Tidak lama selepas itu Raj abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyat jelatanya ditepi TasikLelayang Mandi, dengan itu putuslah sejarah Kerajaan Mahligai. Kerajaan Mahligai dan Kerajaan Jembal wujud kembali dbawah pamerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada tahun 1675M (1086H).


Sultan Omar adalah adinda kepada Raja Loyar yang sebelum itu bergelar Temenggong; Sultan Omar mempunyai lima putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Sultan Omar mangkat pada 1721M (1132H), baginda Long Bahar telah ditabalkan menjadi sultan di Jembal atas kehendak putera Sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar ialah putera Raja Petani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Omar dan memerintah di Sening dekat Jembal.

Setelah baginda Long Bahar mangkar pada 1733M (1146H), maka putera baginda Long Sulaiman ditabalkan menjadi Raja menggantikan baginda dan terus bersemayam di Kota Kubang labu, bukanya di Jembal yang terus ditinggalkan dan akhirnya menjadi sebuah perkampungan.

Long Sulaiman mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legih. pada 1576M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta yang akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pendak, sepupu Long Sulaiman, telah dilantik menjadi Raja Kubang labu dan adiknya pula Long Mohammad dilantik menjadi Raja Muda. Kemudiannya pada 1758M, Long Pendak telah mangkat datangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pendak membunuh isterinya Tengku Tengah, iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhammad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu.


Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Yunus putera Long Sulaiman yang dibantu oleh Long Ghaffar putera Raja Reman di Ulu Perak. Dalam Peperangan pada 1762M Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. Bagi mengenang jasa Long Ghaffar yang membantunya dalam peperangan itu, maka Baginda Long Yunus telah melantik Long Ghaffar menjadi Perdana Menteri memerintah dari kawasan jeram Sampai ke Sungai pasir tumbuh. Baginda Long Yunus telah beerjaya menyatukanseluruh pemerintahan negeri Kelantan dan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.

Pada masa ini negeri Kelantan mencapai kemajuan dan zaman ini dikenali dengan “Zaman Kegemilangan” Selepas itu persahabatan telah terjalin diantara Kerajaan Kelantan dan Siam (Thailand). Contohnya menghantar bunga emas ke Siam sebagai tanda persahabatan. Perkembangan agama Islam berlaku dengan pesatnya pada zaman itu. Contohnya terbinanya Masjid Kampung Lautoleh sekumpulan Ulama, keturunan Wali Songo.

Pada tahun 1899-1920 negeri Kelantan diperintah oleh Sultan Muhammad Ke IV. Pada zaman ini British mulai bertapak dan menguasai pemerintahan Negeri Kelantan. akibatnya pengaruh British mulai berkembang di negeri Kelantan.





Petikan daripada http://www.geocities.com/nikzafri/kelantan.htm

BUKU FOTO KENANGAN NEGERI MELAYU 1900

Raja Nazrin lancar buku muatkan gambar koleksi Sultan Selangor


Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Raja Nazrin Shah melihat buku Malay Peninsula: Old Photographs of Malaya and Singapore By Kleingrothe di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 1 Okt. – Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah melancarkan buku Malay Peninsula: Old Photographs of Malaya and Singapore By Kleingrothe yang memuatkan gambar-gambar lama Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.

Ia mengandungi 139 keping gambar koleksi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dirakam oleh jurugambar C.J. Kleingrothe pada awal tahun 1900.

Sultan Sharafuddin yang turut berkenaan menyaksikan pelancaran buku itu ditemani oleh anakanda baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Raja Nazrin dalam titahnya memberitahu, buku itu merupakan satu lagi projek Sultan Selangor yang amat berminat dalam sejarah negara.

“Negara sekali lagi berhutang dengan seorang Sultan yang sudi berkongsi koleksi gambar yang cantik dan memperlihatkan rasa cinta serta mengambil berat seorang Sultan terhadap rakyat dan negara.

“Sultan Selangor merupakan pengumpul bahan-bahan sejarah dan pelbagai barang yang mempunyai nilai tinggi, sekiranya hilang tidak akan dapat ditemui lagi, baginda percaya bahawa bahan-bahan sejarah ini perlu dipelihara,” titah Raja Nazrin.

Koleksi gambar milik Sultan Selangor itu diperolehi apabila baginda membeli sebuah kotak mengandungi gambar-gambar yang diambil oleh Kleingrothe, seorang jurugambar berbangsa Jerman berpangkalan di Medan, Sumatera.

Raja Nazrin bertitah, gambar-gambar yang terkandung di dalam buku tersebut mengenai suasana Tanah Melayu yang tidak lagi wujud sekarang iaitu mengenai rakyat, landskap, seni binaan dan teknologi yang ada pada zaman tersebut.

Salah satu gambar yang paling disukai baginda adalah mengenai bandar Batu Gajah.

“Gambar mengenai Batu Gajah, sebuah bandar yang aman dan damai di mana ayahanda patik, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dilahirkan dan membesar.

“Gambar tersebut menunjukkan suasana kebun-kebun getah dan lombong bijih timah serta didiami dengan aman damai oleh rakyat berketurunan Melayu, Cina, India dan Sikh,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah, gambar-gambar itu menunjukkan bagaimana nenek moyang berkorban untuk membina negara seperti yang diwarisi sekarang.


Sumber: Arkib Khas: (c) 2009 Utusan Malaysia

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai