Istana Hulu atau disebut juga Istana Kota terletak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, iaitu tidak jauh dari Masjid Ubudiah. Istana ini kepunyaan Sultan Idris Mursyidul Azam Syah (Sultan Perak ke 28). Baginda memerintah dari 1887 hingga 1916.
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan selesai pada 1903. Pada tahun 1916, istana ini diduduki oleh Sultan Abdul Jalil, iaitu Putera Sultan Idris. Selepas kemangkatan Sultan Abdul Jalil pada tahun 1918, maka istana ini telah diduduki pula oleh puteranya, Sultan Yusuf Izzuddin Syah, Sultan Perak ke-32 (1948-1963).
Dalam tahun 1954, Istana Hulu ini telah dimiliki oleh Kementerian Pelajaran, dan kemudian pada tahun 1957, bekas istana ini digunakan sebagai sekolah yang dikenali dengan nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, ia diganti dengan nama Sekolah Raja Perempuan Mazwin, iaitu mengambil sempena dengan nama DYMM Raja Perempuan Perak ketika itu, Raja Mazwin bt Raja Ariff.