Thursday, August 20, 2009
TITAH Sultan Kedah - Hak Melayu Jangan di Soal
Pertahan kontrak sosial
ALOR SETAR 18 Ogos 2009– Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu‘adzam Shah (gambar ) bertitah, negara akan berhadapan dengan bencana dan huru-hara jika kontrak sosial terus dipertikaikan serta dijadikan bahan untuk berpolitik. Baginda khuatir tamadun dan kemerdekaan akan runtuh sebagaimana berlaku terhadap banyak negara apabila api kemarahan akar umbi tidak dapat dikawal.
Titah baginda, perkara-perkara yang terkandung dalam kontrak sosial sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan sesuatu yang dianggap suci dan tidak harus dipersoalkan bagi menjamin kerukunan negara.
‘‘Jika perkara-perkara ini dijadikan bahan perbincangan umum dan berpolitik, ia akan membawa bencana kepada masyarakat dan negara.
‘‘Kontrak sosial tidak wajar dipertikaikan, apatah lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah asas pembentukan negara ini yang menjadikan rakyat pelbagai kaum hidup aman dan damai,’’ titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Seminar Khas Perlembagaan Persekutuan peringkat negeri di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Baginda bertitah, antara sebab yang dikenal pasti berlakunya pertikaian mengenai peruntukan Perlembagaan Persekutuan adalah kedangkalan pihak-pihak tertentu terhadap latar belakang sejarah mengapa ia dimaktubkan.
Titah baginda, keamanan yang dikecapi pada masa ini tidak datang bergolek kerana ia dicapai hasil permuafakatan, toleransi dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu.
‘‘Mereka duduk semeja berbincang bagi menuntut kemerdekaan. Perbincangan ini mewujudkan peruntukan perlembagaan yang menjamin kedudukan raja-raja Melayu, agama Islam dan hak istimewa orang Melayu serta bumiputera Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain yang dikenali sebagai kontrak sosial.
‘‘Kontrak sosial ini merupakan pengorbanan besar orang Melayu kepada kaum lain..."
(c) Utusan 2009. Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH