KAWASAN induk kerajaan Perak terletak di bahagian muara Sungai Perak. Di situlah dahulu Raja-raja Perak bersemayam. Perak. Di utara, Sungai Krian menjadi rebutan di antara Perak dengan Kedah; di selatan, Sungai Bernam menjadi rebutan Perak dengan Selangor.
Sungai Larut juga merupakan jajahan takluk negeri Perak. Long Ja'afar membuka lombong bijih timah di Larut. Bijih timah buat kali pertama dieksport dari Larut pada 1844. Sebelum itu bijih timah lebih banyak dikerjakan di kawasan Hilir Perak dan Bidor. Long Ja'afar berasal daripada keluarga berketurunan Aceh; bapa saudaranya (Alang Allaidin) memegang jawatan Datuk Panglima Bukit Gantang. Long Ja'afar berkahwin dengan sepupunya Ngah Pura, anak Alang Allaidin.
Kejayaan lombongnya merapatkan hubungan di antara Long Ja'afar dengan saudagar-saudagar Cina di Pulau Pinang kerana bijih timah Larut dijual kepada saudagar-saudagar Pulau Pinang. Akibatnya Long Ja'afar mengupah orang Cina untuk mengerjakan lombong di Larut. Pada pertengahan kurun ke 19, orang Cina mulai menetap di Asam Kumbang, Kelian Pauh dan Kelian Baru.
Golongan pertama orang Cina yang datang ke Kelian Pauh diketuai oleh Law Sam; hubungannya dengan Long Ja'afar amatlah erat. Jajahan Larut itu menjadi semakin penting apabila permintaan untuk bijih timah meningkat naik akibat perkembangan perusahaan papan timah di Britain. Sehingga pertengahan kurun ke 19, Hilir Perak adalah pusat kegiatan ekonomi, barang-barang eksport dan import disalurkan melalui muara Sungai Perak.
Mulai pertengahan kurun ke 19, pusat itu berpindah ke Jajahan Larut. Pada peringkat inilah, Long Ja'afar mengambil keputusan untuk mengukuhkan kedudukannya di Larut yang menjadi pegangan bapa mertuanya. Long Ja'afar berjaya memujuk Sultan Shahabuddin (1831-1851) supaya memberikan Jajahan Larut kepadanya sebagai pegangan. Ini dilakukan dengan pemberian surat kuasa bertarikh 6 November 1850.
Pada masa pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Syah (1851-1857), perselisihan berlaku di Perak; kedudukan baginda dicabar oleh Raja Muda Ngah Ja'afar yang lebih berpengaruh. Daripada Raja Ja'afar, Long Ja'afar mendapatkan surat kuasa baru yang bertarikh 8 November 1856. Setelah Sultan Abdullah mangkat pada 1857, Raja Ja'afar ditabalkan sebagai Yang Dipertuan Perak.
Lebih kurang pada masa ini juga Long Ja'afar telah meninggal; anaknya, Ngah Ibrahim, menjadi warisnya dan seterusnya menjalankan pentadbiran di Jajahan Larut dibantu oleh Ngah Lamat, saudara pada Long Ja'afar. Ngah Ibrahim diberi surat kuasa baru bertarikh 24 Mei 1858.
~ Sumber: www.geocities.com