Friday, September 18, 2009

ONN JAAFAR BUKA UMNO KEPADA CINA DAN INDIA


Jun 1951
Pada November 1950, Dato’ Onn bin Jaafar membuat cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu dan mengubah nama UMNO kepada United Malayan Organization. Beliau mahukan orang-orang Melayu bersifat terbuka dan menerima pendekatan baru dalam politik yang bersifat ‘Malayan’. Penglibatan beliau dalam RIDA dan Ahli Dalam Negeri telah mendedahkan beliau kepada dasar pentadbiran British yang ingin ‘meMalayankan’ Tanah Melayu. Beliau bimbang orang Melayu akan terpencil dalam arus pembangunan ekonomi penjajah jika tidak bersikap terbuka. Bagaimanapun UMNO tidak dapat menerima idea Dato’ Onn bin Jaafar dan tidak yakin bahawa semua dasar UMNO akan dapat diputuskan bersama ahli berbagai kaum serta mendatangkan faedah kepada orang-orang Melayu.

25 dan 26 Ogos 1951
Persidangan Agung UMNO diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Dato’ Onn bin Jaafar mengambil keputusan meninggalkan UMNO dan Tunku Abdul Rahman Putra Al–Haj dipujuk untuk bertanding jawatan Yang DiPertua oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dipilih menjadi Yang DiPertua UMNO mengalahkan Haji Ahmad Fuad, manakala Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein dipilih sebagai Timbalan Yang DiPertua.

8 Januari 1952
UMNO Bahagian Kuala Lumpur telah mencapai kata sepakat dengan MCA Selangor bagi menghadapi pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.

23 Ogos 1953
Perikatan UMNO-MCA menganjurkan Perhimpunan Kebangsaan bagi membincang langkah-langkah mencapai kemerdekaan dan bersetuju menubuhkan Perikatan.
1 Februari 1954
Penyata Pilihan Raya telah diumumkan oleh kerajaan dan menerima bantahan kerana tidak bersetuju dengan jumlah kerusi dan tarikh pilihanraya. Gerakan menentang kertas putih laporan pilihanraya telah membuka mata MIC untuk berbaik-baik dengan Perikatan UMNO-MCA. Maka Presiden MIC, K.L. Devaser telah mengadakan satu siding khas bagi mengetahui pendirian ahli-ahli partinya. Hasilnya majoriti ahli MIC menyokong penyertaan dalam Perikatan. Pada April 1955, setelah rundingan diadakan, UMNO-MCA-MIC diterima dengan rasminya sebagai parti rakan dalam Perikatan.
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai