Thursday, September 17, 2009

KUPASAN JATI DIRI MELAYU



Jati diri Melayu


Apabila kita berbicara secara lebih khusus siapa dia bangsa Melayu itu, maka kita bertanya apakah yang dikatakan jati diri bangsa Melayu itu? Dalam hal ini kita melihat definisi yang sudah dibuat oleh beberapa orang sarjana berwibawa, dan cuba membuat definisi kita sendiri.

Mengenai pendapat sarjana yang mendefinisikan jati diri Melayu itu, kita dapat merujuk kepada beberapa buah makalah dalam Contesting Malayness diedit oleh Timothy Barnard dan terbitkan oleh University of Singapore Press (2004). Dalam buku itu Barnard dan Maier mengatakan bahawa para sarjana dunia Melayu ini “terlibat memikirkan ciri dunia Melayu yang terus berubah bentuk.

Setiap orang menimbulkan isu pokok mengenai bagaimana jati diri dan dunia Melayu itu dapat difahami, sama ada dari segi bahasanya, perniagaannya, penjajahannya, aktiviti melanunnya, kesusasteraannya atau negara bangsa modennya.” (Terjemahan bebas pengarang).

Namun, dalam persepsi para sarjana ini tidak ada ciri agama, adat dan kebudayaan yang kita bincangkan. Pada hal, dalam buku-buku yang membincangkan jati diri bangsa, dan Perlembagaan Malaysia, unsur agama, adat dan budaya itu adalah ciri penting, iaitu yang dikatakan Melayu itu adalah orang yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan mengamalkan cara hidup Melayu.

Dalam sebuah makalah lain dalam buku yang sama Shamsul Amri Baharuddin (2004) mendeskripsi jati diri Melayu dengan lebih lanjut. Menurut beliau jati diri Melayu seperti yang kita ketahui sekarang adalah sebenarnya persepsi yang dibuat dan dipaksakan ke atas kita oleh para orientalis dan pentadbir penjajah Inggeris.

Dalam aspek tersebut ada tiga ciri yang digunakan oleh Shamsul Amri Baharuddin bagi mendefinisikan bangsa Melayu ini. Pada beliau penjajah Inggeris bukan sahaja menguasai kita daripada segi ketenteraan, politik, diplomatik, ekonomi, tetapi sebenarnya mereka juga menyerang dan menyerapi budaya kita.

Dengan demikian mereka juga sudah menakluki ruang epistemologi kita. Dalam ungkapan yang mudah, pemerintah Inggeris mencampuri sistem pemikiran orang Melayu, sehingga dapat melumpuhkan minda orang Melayu dengan meletakkan sempadan-sempadan pada kemampuan kita mendefinisikan diri dan dunia kita sendiri.

Beliau menyatakan lagi bahawa, dalam sejarah, terakam apa yang mereka lakukan. Ada tiga perkara penting yang mereka lakukan, iaitu: a. Membuat kajian dan laporan rinci mengenai sistem kuasa pemerintahan dan adat istiadat tempatan, sejarah, sistem pemilikan tanah, sistem pawahan dan pungutan hasil; b. Membuat deskripsi rinci mengenai tamadun peribumi, yang kemudiannya memberi Inggeris kuasa dalam mentamadunkan wilayah yang mereka jajah; dan c. Mengenal pasti tokoh, pejuang dan pemberontak, dan membina lambang-lambang kewujudan dan kekuasaan mereka di wilayah Melayu.

Tegasnya, dengan demikian mereka dapat mewajarkan tatacara mereka mentadbir jajahan yang mereka takluki. Apabila Inggeris datang ke Tanah Melayu, mereka mengkaji dan mengklasifikasi segala aspek kehidupan di dunia Melayu; dalam bidang zoologi, geologi, botani, ekonomi, sejarah dan sosiologi dengan menjalankan survei yang sistematik.

Mereka menyusun atur penjadualan jajahan itu supaya mereka dapat membuat ramalan dan penentuan daripada segi ekonomi, sosial dan politik. Banci penduduk yang mereka kendalikan, merakamkan ras, kaum, etnik, agama, dll., dapat membolehkan Inggeris mengkategorikan orang Melayu dan Peribumi lain untuk tujuan pentadbiran mereka.

Akhirnya, langkah yang melakri jati diri Melayu itu adalah peristiwa apabila penjajah Inggeris meluluskan Enakmen Rezab Melayu pada tahun 1913. Melalui Enakmen itu Inggeris dapat menentukan: a. Siapa orang Melayu, b. Siapa yang boleh menanam padi atau getah; dan c. Harga tanah.

Seterusnya, definisi jati diri Melayu itulah yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia, yang kemudiannya menentukan siapa yang dianggap Melayu dan bumiputera, dan siapa yang berhak mendapat biasiswa dan membeli tanah di kawasan rezab Melayu, dengan nilai tertentu, dan lain-lain.



(c) http://profabdullah1.wordpress.com/2009




 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai