Friday, December 4, 2009

AMALAN BERUSIA 410 TAHUN

BAU kemenyan yang menusuk ke hidung, suasana gelap dan laluan pejalan kaki yang sempit membawa pengunjung menuju ke Hamam al-Abhar. Ia hanya mengingatkan diri kepada sejarah lampau yang berusia 410 tahun di ibu kota lama Yemen.

Selama berabad-abad lamanya, rumah mandi tradisional (Hamam) masyarakat Turki menjadi tumpuan penduduk Asia Barat.
Hamam telah menjadi pusat perjumpaan untuk bersosial sambil melakukan kegiatan membersihkan diri mengikut adat lama Yemen. Kebanyakan Hamam memiliki seni bina menarik.

Di Hamam al-Abhar, golongan lelaki daripada semua peringkat umur akan berehat setelah mandi wap. Mereka duduk mengelilingi dewan bulat sambil mengunyah qat, sejenis daun yang mengkhayalkan dan
menikmati cahaya semula jadi yang menembusi lubang-lubang kecil di atas kubah.

Bandar purba Sanaa telah diduduki oleh manusia sejak 2,500 tahun dahulu dan kawasan itu telah diwartakan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai bandar bersejarah.

Sanaa mempunyai 14 buah Hamam, 193 masjid dan lebih daripada 6,000 buah rumah lama yang dibina sebelum abad yang ke-11.
Bagi majoriti pengunjung, amalan itu dipercayai mampu mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit. Yang selebihnya pula datang dengan harapan ia dapat meningkatkan lagi prestasi semasa mengadakan hubungan kelamin. Air panas dan teknik urutan membantu untuk melancarkan pengaliran darah.

Dalam tahap pertama, ritual itu menuntut pengunjung memasuki bilik panas. Di sini, mereka akan duduk di atas kerusi berbatu hitam dan berpeluh di sebalik udara kering yang panas. Bilik seterusnya juga panas dan lembap. Di situ pula, pengguna akan membersihkan diri dengan menggunakan air sabun yang mengalir keluar dari lantai.

Di ruang urut yang juga panas persekitarannya, seorang tukang urut bekerja dengan penuh tekun. Dia mengurut seluruh badan pengunjung dari kaki, tangan, perut dan belakang badan. Hamam turut dibuka kepada wanita terutama pada hari Khamis dan hujung minggu apabila banyak majlis perkahwinan berlangsung. Tentang harga, ia tidak tetap dan berada dalam lingkungan 200 riyal (RM3.37) hingga 2,000 riyal (RM1,797) mengikut tempoh tertentu.

Orang Yemen juga percaya bahawa kunjungan ke Hamam akan memelihara kesihatan yang sejahtera. Malah, sehari suntuk berada di sini lebih baik berbanding dengan berjumpa doktor. Sehinggakan, ada juga yang beranggapan bahawa ia merupakan ubat paling mujarab daripada terkena jangkitan virus H1N1.

Dipetik dari Kosmo
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai