Wednesday, December 2, 2009

SEMINAR PERADABAN MELAYU

Kumpulan Rajamenangis telah berpeluang mengikuti SEMINAR PERADABAN MELAYU yang telah berlangsung pada 23 - 24 November di Dewan Bahasa dan Pustaka anjuran Institut Peradaban Melayu, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) yang telah membincangkan 11 makalah yang mempunyai kaitan dengan dunia Melayu khususnya. Ia adalah seminar yang memperkayakan pengalaman sekaligus memberi peluang kami berkenalan dengan pemakalah yang mempunyai kepakaran di bidang masing-masing. Pemakalah dan makalah:

Prof. Emeritus Dr. Datuk Asmah Hj. Omar, Felo Penyelidik Kanan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau adalah seorang sarjana bahasa Melayu yang mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman yang meluas dan mendalam tentang bahasa Melayu. Beliau akan berbicara mengenai "Bahasa Sebagai DNA Peradaban."




Prof. Dr. Adnan Awang, Penyandang Kursi Za’ba, Institut Peradaban Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Beliau banyak menyelidiki sejarah dan sumbangan Za'ba dan tokoh-tokoh lain terhadap kecendekiaan Melayu. Beliau akan membentangkan dapatan kajiannya menganai "Cendekiawan Melayu dan Perjuangan dalam Karya Kesarjanaan Mereka."


Dr. Siti Zainon Ismail, mantan profesor, Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr. Siti Zainon adalah seorang sarjana seniman Melayu yang terkenal dengan ketokohan dan karya beliau di Alam Melayu. Beliau akan berbicara mengenai "Gaya Berbusana: Adat Dan Adab Selaras Keindahan Peradaban Melayu."




Datuk Dr. Hassan Ahmad, Pengarah Urusan, Yayasan Karyawan Datuk Dr. Hassan Ahmad menerajui Yayasan Karyawan yang menerbitkan Siri Karya Agung dalam bahasa Melayu. Beliau adalah seorang pemikir yang banyak membaca, menulis dan berbicara mengenai pergelutan dalam peradaban semasa kita. Beliau akan membicarakan "Karya Agung Melayu: Cerminan Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman."


Prof. Dr. Datuk Zainal Kling, Penyandang Kursi Ghafar Baba, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Prof. Datuk Dr. Zainal Kling adalah seorang budayawan sarjana yang lantang membicarakan isu-isu dalam peradaban Melayu semasa. Beliau berbicara mengenai "Nilai-Nilai Unggul Masyarakat Melayu".




Encik Nasha Rodziadi Khaw, siswa sarjana, Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah seorang graduan sains yang terpaut pada bidang arkeologi. Dengan kemahirannya dalam bahasa Melayu, Cina, Inggeris dan Perancis, beliau dapat meneliti banyak dokumen asal dalam bahasa-bahasa tersebut, dan membuat "Satu Analisis Sosioekonomi Kerajaan Awal Semenanjung Tanah Melayu Sebelum Kurun Ke-13."




Prof. Datuk Dr. Yaacob Harun, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Prof. Datuk Dr. Yaacob pernah memegang Kursi Pengajian Melayu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, di Universiti Leiden, dan di Victoria University of Wellington. Beliau banyak menjalankan kajian terhadap masyarakat Melayu semasa. Beliau akan membentangkan dapatan kajiannya mengenai "Melayu dan Identitinya."



Prof. Dr. Datuk Wan Hashim Wan Teh, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Datuk Prof. Dr. Wan Hashim Wan Teh terkenal dengan penyelidikannya mengenai diaspora Melayu. Beliau akan menyampaikan hasil penyelidikannya mengenai "Rumpun Melayu Minoriti dan Diaspora, Persoalan Jati Diri."





Prof. Madya Nuwairi Khazai, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Kanun ini adalah asas pembinaan sebuah peradaban, iaitu apabila ada undang-undang yang tertulis. Tuan Nuwairi melakukan banyak penyelidikan terhadap kanun-kanun Melayu. Beliau akan menyampaikan dapatan kajiannya "Kanun-Kanun Melayu Sebagai Ukuran Peradaban Melayu."




Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Datuk Zainal Borhan banyak meneliti dan berbicara tentang peradaban Melayu, dan beliau akan membicarakan "Memantapkan Peradaban Melayu."





Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Pengarah, Institut Peradaban Melayu, Universit Pendidikan Sultan Idris. Prof. Abdullah Hassan melibatkan diri dalam perancangan bahasa Melayu di DBP dan Pengajian Tinggi semenjak 1972. Beliau akan menyampaikan makalah "Bahasa Sebagai Unsur Budaya, dan Pembinaan Peradaban Bangsa."
 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Shali+Zai