RAJAMENANGIS menggesa dan menyeru agar pemantauan segera dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas laman-laman blog yang banyak menyiarkan komen-komen menghina Kesultanan Johor.
Pada satu ketika dulu, Sultan Perak telah menjadi sasaran seumpama ini. Nampaknya tangkapan dan dakwaan yang dibuat ke atas mereka yang bersalah ketika itu tidak meninggalkan kesan. Golongan yang tidak bertanggung jawab terus mendabik dada dan sengaja ingin menaikkan kemarahan ramai terutama orang-orang Melayu.
Difahamkan mereka yang terlibat akan didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan. Seksyen 233 akta tersebut menyatakan, pengendali laman web dan blog yang menyebar kandungan bersifat jelek, mengancam dan mengugut boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekiranya sabit kesalahan.
Sungguhpun begitu, andai kata mereka yang terbabit tidak hadir ke mahkamah seperti yang diarahkan maka pihak pendakwaan bercadang memohon supaya mahkamah mengeluarkan waran tangkap.